Monique sedang menghadapi pergelutan. Dia mempunyai sahabat-sahabat yang percaya kepada Yesus, dan dia menghormati cara mereka menangani kesukaran dalam hidup mereka. Malah dia juga agak cemburu dengan mereka. Tetapi Monique berasa bahawa dia tidak boleh hidup seperti mereka; dia berpendapat bahawa mempercayai Kristus adalah tentang mematuhi peraturan. Akhirnya, seorang rakan seuniversiti telah membantunya menyedari bahawa Tuhan mempunyai rancangan yang terbaik baginya dalam segala keadaan, dan rancangan-Nya tidak pernah mengecewakan. Sebaik sahaja dia memahami perkara ini, Monique menyerahkan hidupnya kepada Yesus sebagai Penyelamatnya dan menerima kebenaran yang luar biasa tentang kasih Tuhan kepadanya.

Raja Salomo juga boleh memberikan nasihat yang sama kepada Monique. Dia mengakui bahawa kesedihan memang wujud dalam dunia ini. Sesungguhnya, “Bagi segala sesuatu ada musimnya” (Pengkhutbah 3:1)—“ada waktu untuk menangis, ada waktu untuk ketawa” (ayat 4). Namun bukan itu sahaja. Tuhan “meletakkan keabadian dalam hati mereka” (ayat 11). Keabadian yang hanya dapat dihayati dalam kehadiran-Nya.

Monique memperoleh kehidupan yang “berlimpah-limpah,” seperti yang dikatakan Yesus (Yohanes 10:10), apabila dia percaya kepada-Nya. Malah dia telah memperoleh lebih daripada itu! Dengan percaya kepada Tuhan, “keabadian dalam hati[nya]” (Pengkhutbah 3:11) akan menjadi harapannya pada masa depan. Pada waktu itu, kesukaran hidup tidak akan diingat lagi (Yesaya 65:17), dan kehadiran Tuhan yang mulia akan menjadi realiti yang kekal abadi.