Apabila Perancis dan Argentina bertemu pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022, perlawanan ini menjadi sungguh luar biasa dan digelar “perlawanan Piala Dunia terhebat dalam sejarah.” Ketika detik terakhir semakin menjelang pada masa tambahan, kedudukan mereka terikat pada 3-3, menyebabkan perlawanan tersebut masuk kepada sepakan penalti. Selepas Argentina membuat gol kemenangan, negara tersebut meletus dalam perayaan. Lebih daripada sejuta rakyat Argentina membanjiri pusat bandar Buenos Aires. Rakaman dron yang menjadi tular di media sosial menunjukkan adegan yang riuh dan penuh kegembiraan ini. Laporan berita daripada saluran BBC menggambarkan bandar itu bergegar dalam “ledakan kegembiraan.”
Kegembiraan sentiasa merupakan kurniaan yang indah. Namun, kitab Amsal menggambarkan bagaimana sebuah bandar dan rakyat mereka dapat mengalami kegembiraan yang lebih mendalam dan bertahan lebih lama. “Jika orang benar beruntung,” kata Amsal, “seluruh kota bergembira” (11:10). Apabila mereka yang benar-benar hidup menurut rancangan Tuhan untuk manusia mula mempengaruhi masyarakat, maka ini menandakan berita baik kerana ini bermakna keadilan Tuhan sedang berlaku. Ketamakan akan semakin berkurangan. Orang miskin akan mendapat sokongan. Orang yang tertindas akan dilindungi. Apabila cara hidup menurut kehendak Tuhan berlaku, maka kegembiraan dan “keberkatan” akan dialami di dalam kota itu (ayat 11).
Jika kita benar-benar menjalani cara hidup menurut kehendak Tuhan, maka hasilnya akan menjadi berita baik untuk semua orang. Cara hidup kita akan menjadikan keadaan masyarakat di sekeliling kita semakin baik dan mewujudkan kesatuan. Tuhan memanggil kita turut serta dalam melakukan pekerjaan-Nya untuk menyembuhkan dunia ini. Dia memanggil kita membawa kegembiraan kepada bandar kita.