Menurut kajian, orang yang sentiasa bersyukur atas apa yang dimiliki mereka, dilaporkan mempunyai tidur yang lebih baik, kurang gejala penyakit, dan lebih banyak kebahagiaan. Segala itu merupakan faedah yang mengagumkan. Pakar psikologi juga mencadangkan agar setiap orang patut memiliki “jurnal kesyukuran” untuk meningkatkan kesejahteraan kita, menuliskan lima perkara yang kita syukuri pada setiap minggu.

Alkitab telah lama mempromosikan amalan memberi kesyukuran. Daripada bersyukur untuk makanan dan perkahwinan (1 Timotius 4:3-5) kepada keindahan ciptaan (Mazmur 104), Alkitab memanggil kita melihat perkara sebegini sebagai kasih kurnia dan berterima kasih kepada Pemberi untuk segalanya. Mazmur 107 menyenaraikan lima perkara yang boleh disyukuri oleh orang Israel: penyelamatan mereka dari padang gurun (ayat 4-9), pembebasan mereka daripada tawanan (ayat 10-16), penyembuhan daripada penyakit (ayat 18-22), penyertaan Tuhan ketika mereka menyeberangi lautan (ayat 23-32), dan penyediaan Tuhan bagi mereka di tanah yang tandus (ayat 33-42). Mazmur mengulangi, “Bersyukurlah kepada TUHAN,” kerana semua ini merupakan tanda “kasih setia” Tuhan (ayat 8, 15, 21, 31).

Adakah anda mempunyai pad nota? Tuliskan lima perkara baik yang anda syukuri sekarang. Perkara-perkara yang anda perlu tulis mungkin termasuklah hidangan yang baru anda nikmati, perkahwinan anda, atau seperti Israel, kisah penyelamatan Tuhan dalam hidup anda sehingga kini. Bersyukurlah untuk burung yang bernyanyi di luar, bau dari dapur anda, kerusi anda yang selesa, dan bisikan lembut daripada orang tersayang. Semua itu merupakan anugerah dan tanda kasih Tuhan yang tidak berkesudahan.