Buku yang bertajuk Hidden Figures menceritakan tentang persiapan penerbangan John Glenn ke angkasa lepas. Komputer merupakan ciptaan baru pada tahun 1962, dan sering mengalami masalah pada zaman itu. Glenn tidak mempercayai komputer dan bimbang tentang ketepatan pengiraan untuk pelancaran kapal angkasa. Dia mengenali seorang wanita yang pintar dan bekerja di bilik belakang pejabatnya. Wanita itu berkebolehan untuk membuat pengiraan yang tepat. Glenn mempercayainya. “Jika dia berkata bahawa nombornya adalah tepat,” kata Glenn, “Saya bersedia untuk pergi.”
Wanita yang pintar itu ialah Katherine Johnson, yang merupakan seorang guru dan ibu bagi tiga orang anak. Dia mengasihi Yesus dan melayani di gerejanya. Tuhan telah memberkati Katherine dengan minda yang luar biasa. NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan) telah merekrut dia pada penghujung 1950-an untuk membantu dalam program angkasa lepas. Dia merupakan salah satu “komputer manusia” yang diupah mereka pada masa itu.
Mungkin kita tidak dipanggil untuk menjadi seorang ahli matematik yang cemerlang, tetapi Tuhan memanggil kita untuk perkara-perkara yang lain: “Tetapi masing-masing diberi kasih kurnia sekadar pemberian Kristus” (Efesus 4:7). Kita harus menjalani kehidupan yang “berpadanan dengan panggilan” yang telah kita terima (ayat 1). Kita adalah sebahagian tubuh Kristus, yang “setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing” (ayat 16).
Pengiraan Katherine Johnson mengesahkan trajektori perjalanan Glenn. Pelancaran Glenn ke orbit adalah tepat pada sasaran. Namun ini hanyalah salah satu panggilan Katherine. Selain itu, panggilannya adalah sebagai seorang ibu, guru dan pelayan gereja. Kita mungkin bertanya kepada diri sendiri sebabnya Tuhan memanggil kita, sama ada untuk perkara besar ataupun kecil. Adakah kita “bersedia untuk pergi,” melaksanakan panggilan sesuai dengan kasih kurnia yang telah diberikan-Nya kepada kita, menjalani kehidupan yang “berpadanan dengan panggilan [kita]” (ayat 1)?