“Saya tahu bahawa satu-satunya cara untuk berjaya adalah melupakan keluarga saya, isteri, anak lelaki serta anak perempuan saya,” kata Jordon. “Tapi saya tidak boleh lakukannya. Mereka sudah tersemat dalam hati dan jiwa saya.” Jordon telah menyertai sebuah rancangan realiti yang menuntut peserta tinggal bersendirian di kawasan terpencil, bertahan hidup di alam dengan bekalan minimum untuk selama yang mungkin. Apa yang memaksanya untuk menarik diri bukanlah beruang perang yang besar, suhu sejuk, kecederaan atau kelaparan, tetapi kesepian dan keinginan untuk bersama dengan keluarganya.
Kita mungkin memiliki semua kemahiran hidup yang diperlukan untuk hidup dalam hutan belantara, tetapi jika kita ingin memisahkan diri daripada komuniti, ini merupakan satu cara yang sudah pastinya akan gagal. Penulis Pengkhutbah yang bijak berkata, “Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana … Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya” (4:9-10). Sebagai komuniti yang memuliakan Kristus, fakta ini terutamanya penting bagi pertumbuhan iman kita sendiri, walaupun komuniti itu masih ada kucar-kacir.
Ketika kita menghadapi pencubaan di dunia ini, jika kita cuba mengatasinya sendiri, kita pasti akan gagal. Seseorang yang berjerih lelah sendirian akan mendapati dirinya bekerja dengan sia-sia (ayat 8). Tanpa wujudnya sebuah komuniti, kita lebih mudah terdedah kepada bahaya (ayat 11-12). Tidak seperti seutas tali, “Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan” (ayat 12). Komuniti yang hidup berdasarkan kasih dan berfokuskan Kristus ialah komuniti yang bukan sahaja memberi galakan, tetapi juga memberi kita kekuatan untuk berjuang walaupun menghadapi situasi yang mencabar. Kita memerlukan satu sama lain.