Apabila kapal Titanic melanggar bongkah ais pada April 1912, Pastor John Harper mendapatkan tempat untuk anak perempuannya yang berusia enam tahun di salah satu bot penyelamat yang terhad. Dia memberikan jaket keselamatannya kepada penumpang lain dan berkongsi Injil dengan sesiapa sahaja yang mahu mendengarkannya. Ketika kapal itu tenggelam dan ratusan orang menunggu akan bantuan penyelamatan yang tidak mungkin sampai, Harper berenang daripada seorang kepada seorang yang lain dan berkata, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu” (Kisah Para Rasul 16:31).
Semasa sebuah pertemuan diadakan untuk mangsa Titanic yang terselamat di Ontario, Kanada, seorang lelaki menyebut dirinya sebagai “orang terakhir yang percaya kepada Kristus kerana John Harper.” Setelah menolak pelawaan pertama Harper, lelaki itu menerima Kristus apabila penginjil itu bertanya kepadanya sekali lagi. Dia menyaksikan Harper menggunakan saat-saat terakhir dalam hidupnya untuk berkongsi tentang Yesus sebelum mati disebabkan hipotermia (suhu badan yang bilazim rendah) dan tenggelam di dalam air yang amat sejuk.
Dalam nasihat Paulus kepada Timotius, dia mendorong Timotius berkongsi Injil yang tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri dengan sikap kesegeraan dan dedikasi yang serupa . Sambil menekankan kehadiran Tuhan yang berterusan dan kedatangan kembali Yesus yang pasti akan terjadi, Paulus menyuruh Timotius berkhutbah dengan kesabaran dan ketelitian (2 Timotius 4:1-2). Rasul Paulus mengingatkan pengkhutbah muda tersebut untuk tetap fokus, walaupun sesetengah orang akan menolak Yesus (ayat 3-5).
Hidup kita adalah terhad, jadi setiap saat adalah penting. Kita boleh yakin bahawa Bapa kita menjamin tempat kita di syurga semasa kita mengisytiharkan, “Yesus menyelamatkan orang!”