Bob Salem memegang rekod kelajuan dalam acara menolak kacang ke Puncak Gunung Pike, Amerika dengan hidungnya—atau lebih tepat lagi, dengan sudu yang dilekatkan pada mukanya. Aksi itu harus dilakukannya pada waktu malam untuk mengelakkan gangguan daripada pelancong, akhirnya dia mencapai kejayaan dalam tujuh hari. Bob ialah orang keempat yang menyelesaikan aksi itu, yang bermakna terdapat tiga orang lagi yang sangat sabar telah melakukan aksi itu.
Mungkin ada orang akan berkata bahawa kesabaran seperti ini adalah disengajakan, tetapi selalunya bukan begitu dalam kehidupan. Kita memerlukan kesabaran. Ia adalah buah Roh (Galatia 5:22) dan merupakan sifat penting untuk menjadi “sempurna tanpa sebarang kekurangan pun” (Yakobus 1:4). Orang yang sabar cenderung bertenang apabila semua orang di sekelilingnya berada dalam keadaan panik. Mereka menginginkan ada perubahan dalam keadaan mereka, tetapi mereka tidak memerlukan atau memaksakan berlakunya perubahan ini. Mereka tetap dalam haluan dan mempercayai Tuhan mengurniai mereka kebijaksanaan untuk bertindak dengan bijak (ayat 5).
Hanya terdapat satu cara untuk mempelajari kesabaran. Yakobus berkata “ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan” (ayat 3). Ujian itu datang dalam keadaan besar dan kecil. Saya menulis artikel ini di lapangan terbang. Penerbangan saya pada jam 11 malam ditangguhkan sehingga jam 2 pagi, kemudian penerbangan dibatalkan. Selepas semalaman tidak tidur, saya meneguk kopi dan berharap dapat pulang ke rumah nanti. Saya tidak suka membuang masa sepanjang hari, atau mengantuk di lapangan terbang, tetapi Bapa Syurgawi yang penyayang sedang mengajar saya tentang kesabaran.
Saya berdoa saya tidak perlu belajar tentang kesabaran lagi untuk hari ini, tetapi siapa tahu? Baik saya pergi menyemak senarai tunggu untuk penerbangan pulang saya.