“Tuhan sangat baik kepada kita! Saya ingin berterima kasih kepada-Nya untuk ulang tahun perkahwinan kami.” Suara Terry mantap, dan air mata pada matanya menunjukkan keikhlasannya. Kami yang lain dalam kumpulan kecil juga berasa sangat terharu, kerana kami tahu apa yang berlaku pada Terry dan suaminya, Robert, sejak beberapa tahun yang lalu. Robert ialah seorang Kristian, namun dia menghidapi penyakit mental yang teruk secara tiba-tiba dan telah meragut nyawa anak perempuan mereka yang berusia empat tahun. Akibatnya dia dipenjarakan selama beberapa dekad, tetapi Terry melawatnya, dan Tuhan melakukan penyembuhan yang indah, membantu dia memaafkan. Walaupun mereka mengalami sakit hati dengan mendalam, kasih antara suami dan isteri ini bertambah kukuh.
Kasih dan pengampunan seperti ini hanya datang daripada satu sumber. Daud menuliskan Tuhan dengan gambaran ini, “Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita … Sebagaimana jauhnya timur dari barat, begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita” (Mazmur 103:10, 12).
Belas kasihan yang ditunjukkan Tuhan kepada kita datang melalui kasih-Nya yang luas: “Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi, demikianlah limpah kasih-Nya” kepada kita (ayat 11). Kasih yang begitu mendalam membuatkan Dia pergi ke salib dan kubur untuk menghapuskan dosa-dosa kita, sehingga Dia membawa semua orang yang “menerima Dia” (Yohanes 1:12) pulang kepada diri-Nya.
Terry memang betul. “Tuhan begitu baik kepada kita!” Kasih dan pengampunan-Nya menjangkaui sempadan yang tidak dapat dibayangkan dan menawarkan kita kehidupan yang tidak pernah berakhir.