Pada tahun 1905, seorang pemuda yang kelihatan agak selekeh mengasingkan diri di apartmennya di Bern, Switzerland, untuk menjalankan eksperimen pemikiran yang kompleks tentang sifat alam semesta. Dengan tumpuan yang kegila-gilaan, ahli fizik itu tidak berhenti untuk mengkaji dan mengira semula perhitungannya. Empat bulan kemudian setelah bertungkus-lumus memerah otak, akhirnya lelaki ini telah menulis semula banyak penemuan yang sudah diketahui ramai tentang bagaimana dunia berfungsi pada zaman itu. Lelaki itu ialah Albert Einstein, yang berusia dua puluh enam tahun pada ketika itu.
Walaupun memiliki minda saintifik yang hebat, Einstein berkata, “Semakin banyak yang saya pelajari, semakin saya sedar betapa banyak yang tidak saya tahu.”
Alkitab sering menunjukkan keagungan Tuhan yang tercermin melalui ciptaan-Nya: “Cakerawala menunjukkan ciptaan-Nya” (Mazmur 19:1), dan lama sebelum penemuan Einstein, Ayub telah mengungkapkan kata-kata ini: “Dapatkah engkau memahami kesempurnaan Yang Maha Kuasa? Tingginya melebihi langit” (Ayub 11:7-8).
Akan tetapi, kemuliaan ciptaan Tuhan jauh lebih besar daripada alam semesta yang terbentang luas: “Pada permulaan sudah wujud Firman … Firman itu menjadi manusia” (Yohanes 1:1, 14). Tidak ada sebarang formula matematik dapat menjelaskan perbuatan Tuhan yang luar biasa ini, yang Dia menjadi manusia melalui Yesus Kristus. Tuhan bukan sekadar berada “di luar sana” dalam alam semesta yang tidak dapat kita fahami sepenuhnya, tetapi Dia ada di sisi kita—Firman hidup dalam kalangan kita, iaitu cahaya hidup (1:4) yang dapat kita kenal dengan membina hubungan yang rapat dan peribadi.
