Selepas ibu Joni Eareckson Tada meninggal dunia, Joni memikirkan bagaimana tubuh kita adalah seperti “bejana tanah liat” yang menyimpan harta berharga, iaitu hadirat Kristus. Dia memikirkan satu persamaan moden untuk menghuraikan tubuh jasmani kita—sebuah kotak kadbod. Dia sedar bahawa “kotak” ibunya, dengan sudut dan lengkung yang telah lusuh, kini sudah kosong. Namun begitu, dia merenungkan bahawa itulah kotak yang sangat dihargai mereka, kerana ibunya bagaikan “wadah yang pernah didiami oleh Roh Kristus.”
Seperti yang diperhatikan oleh Joni, orang yang mengikut Yesus akan membiarkan Dia bersinar melalui hidup mereka selalu dengan cara yang luar biasa, biarpun melalui “kotak” yang ada kesan ronyok dan lubang, yakni tubuh kita yang mula uzur dimakan usia. Pemerhatian Joni bergema dengan kata-kata Paulus tentang harta yang kelihatan dalam “bejana tanah liat”, kerana jelasnya “kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri” (2 Korintus 4:7). Walaupun Paulus “dihimpit” dan “kebingungan” dalam penderitaannya, dia tidak “hancur” atau “putus asa” (ayat 8-9). Melalui penderitaan dalam tubuhnya, dia tahu bahawa hidup Kristus akan dinyatakan.
Bagaimanakah keadaan “kotak” kadbod anda? Mungkin anda merasakan kesan ronyok semakin banyak ketika anda mengerang di bawah beban kesakitan atau penyakit. Bagaimanapun, ketahuilah bahawa Yesus sedang dinyatakan melalui tubuh anda (ayat 10). Apabila anda menyerahkan diri kepada-Nya, Dia akan menyinarkan cahaya-Nya melalui anda, supaya mereka yang berada dalam kegelapan dapat menerima kasih dan hidup-Nya.
