Rawatan kanser menyebabkan Nancy mendapat banyak ulser di dalam mulut dan tekaknya sehingga dia tidak dapat menelan walau sekeping roti pun. Dia terpaksa bergantung pada susu untuk mengisi perutnya selama beberapa hari yang menyeksakan. Satu-satunya perkara yang membawa senyuman pada wajah yang berusia enam puluh tahun itu adalah sukacita kerana mengenal Yesus—dan cucu-cucu lelakinya. Setiap minggu bersama mereka membantunya supaya tidak terus memikirkan keadaannya. “Kalau bukan kerana cucu-cucu, saya sudah berputus asa,” katanya.

Rasul Paulus juga mendapat sukacita dalam Yesus dan orang lain meskipun dia menghadapi kesukaran. Sukacitanya datang daripada Yesus dan hidup untuk-Nya. Walaupun dipenjarakan (Filipi 1:13), dia memperoleh kekuatan untuk menggalakkan orang lain. Dia berbicara tentang sukacita yang datang daripada memberitakan Injil tentang Yesus bersama orang lain, dan tahu apa yang menantikannya selepas kematian (ayat 3-5, 18, 20). Keyakinan itu membolehkan dia berkata, “Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan” (ayat 21).

Paulus dapat bersukacita kerana Yesus merupakan hidupnya. Kepuasan dan keselamatan yang dimilikinya bukan datang daripada sebarang harta benda atau keadaan, tetapi daripada mengetahui bahawa dia milik Kristus. Oleh itu, walaupun surat ini ditulis dalam keadaan yang paling teruk, dia boleh berkata dalam Filipi 4:4, “Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!”

Semoga kita menemukan sukacita dalam Yesus, yang mengasihi dan memelihara kita, serta memberi kita kekuatan untuk bersukacita dalam apa jua keadaan.