Ketika Oswald dan Biddy Chambers mengendalikan sebuah kolej Alkitab di London dari tahun 1911 hingga 1915, mereka mengekalkan prinsip hidup untuk tidak mengabaikan orang yang memerlukan. Penduduk London yang bijak terkejut dengan amalan ini, dan beranggapan bahawa orang akan mengambil kesempatan terhadap kolej tersebut. Sebagai respons, Oswald memerhati, tanpa mengajak orang lain untuk mengikuti amalan itu, “Tanggungjawab saya ialah memberi. Tuhan akan menjaga siapa yang meminta.”
Pasangan ini mencontohi Pencipta kita yang murah hati. Tuhan memberi arahan kepada Musa dan menetapkan kurnia yang melimpah bagi umat-Nya untuk hidup serta melayani orang lain, termasuklah memberi makanan dan harta mereka. Musa memberitahu orang Israel bahawa pada akhir setiap tiga tahun, mereka harus “[mengeluarkan] segala persembahan sepersepuluh” supaya orang Lewi, “para pendatang, anak yatim, dan balu,” dapat datang dan “makan sampai kenyang” (Ulangan 14:28-29). Tuhan menyediakan keperluan bagi yang lemah melalui kebaikan umat-Nya.
Kepercayaan keluarga Chambers kepada Tuhan begitu kuat sehingga mereka memberi dengan rela hati dan tanpa ragu-ragu. Mereka telah belajar untuk “sentiasa bertakwa kepada TUHAN” (ayat 23) dan menerima berkat-Nya dalam “segala pekerjaan yang dilakukan tangan [mereka]” (ayat 29).
Kita juga mungkin berasa terinspirasi untuk memberi dengan murah hati sambil bergantung pada Tuhan untuk hikmat dan pengertian. Kita tahu bahawa Tuhan akan memimpin dan membimbing, serta menyediakan keperluan bagi para pendatang, anak yatim, dan balu dengan murah hati.
