Ketika Melanie mula mengalami sakit kepala yang kerap, beberapa doktor mendapati dia mempunyai tumor yang tidak berbahaya di kelenjar pituitari. Tumor itu bersaiz kira-kira sebesar buah plum dan dibuang melalui pembedahan pada tahun 2003 dan sekali lagi pada tahun 2006 apabila tumor itu datang kembali. Kemudian pada tahun 2017, apabila ia kembali untuk kali ketiga, Melanie menjalani rawatan radiasi yang menyebabkan dia kehilangan rambut. Matt, anak lelakinya yang berumur dua puluh tujuh tahun, memutuskan untuk memanjangkan rambutnya sendiri supaya dapat membuat rambut palsu untuk ibunya.
Tindakan Matt yang mengutamakan orang lain dan penuh kasih itu menunjukkan bagaimana kebolehan dan sumber seseorang boleh memenuhi keperluan orang lain atau sesebuah kumpulan. Paulus menekankan keindahan tentang amalan yang saling memberi secara murah hati ini dalam suratnya kepada orang Filipi. Orang percaya di Filipi telah berkongsi dalam “kesusahan[nya]” dan “mengirimkan bantuan untuk menampung kekurangan[nya] (Filipi 4:14, 16). Setelah menerima pemberian mereka, Paulus menyedari bahawa Tuhan telah mencukupkan keperluannya melalui mereka.
Tuhan sering membekalkan keperluan kita melalui kemurahan hati dan bantuan sesama manusia.” Kadangkala kita berada dalam posisi untuk memberikan masa, bakat, atau harta kita; kadangkala pula kita sendiri memerlukan dan perlu bergantung pada sokongan orang lain. Melalui pekerjaan Roh Kudus di dalam kita, pemberian kita adalah “berkenan kepada Allah”, serta menunjukkan bahawa kita adalah anggota-anggota tubuh Kristus yang saling berhubungan erat (ayat 18 TB).
ILHAM
Gereja di Makedonia menerima pujian tinggi daripada Paulus. Mereka bukan sahaja cepat membantu memenuhi keperluannya, malah dalam keadaan ini mereka merupakan satu-satunya gereja yang berbuat demikian (Filipi 4:15). Paulus juga berkata, “Ketika aku di Tesalonika pun kamu telah mengirimkan bantuan untuk menampung kekuranganku” (ayat 16). Dalam 2 Korintus 8, Paulus bahkan menjadikan gereja Makedonia yang miskin dalam segi ekonomi sebagai teladan kepada gereja Korintus yang kaya (ayat 1-2).Dalam konteks inilah Paulus menulis, “Allahku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus” (Filipi 4:19). Sebagaimana Tuhan menyediakan keperluan kita pada hari ini, kita juga dapat membantu dan memberi kepada orang lain.
