Kedai Buku Serendipity, sebuah tempat popular di Chelsea, Michigan, perlu diperluaskan. Pemiliknya menemui sebuah bangunan dua kali ganda saiznya daripada kedai asal, yang terletak hanya satu blok jauhnya. Dia ingin berpindah dengan segera, tetapi tidak mahu menutup kedai dan membungkus semua buku itu dalam beberapa hari. Oleh itu, dia meminta bantuan daripada komuniti. Lebih daripada tiga ratus orang yang hadir! Mereka berdiri rapat, membentuk satu barisan laluan penghantaran, dan menyerahkan buku dari seorang ke seorang untuk memindahkan 9,100 buah buku dalam masa kurang daripada dua jam. Pemiliknya berkata, “[Kedai buku] benar-benar adalah sebahagian daripada komuniti, dan [orang-orang] mempunyai rasa tanggungjawab bersama.” Semua orang bekerjasama dengan penuh semangat pada hari itu.

Apabila Nehemia, seorang juru minuman berbangsa Yahudi yang dipercayai oleh raja Parsi, mengetahui bahawa tembok yang mengelilingi Yerusalem telah roboh, dia memohon petunjuk Tuhan (Nehemia 1:3-11). Tembok itu telah dimusnahkan oleh bangsa Babilon pada tahun 587 SM. Setelah menyiasat keadaan, Nehemia mendapatkan sokongan daripada komuniti. Dia berkata kepada para pemimpin Yahudi, “Kamu lihat kesusahan yang kita alami, bagaimana Yerusalem rosak dan pintu-pintu gerbangnya hangus dijilat api. Mari kita bina semula tembok Yerusalem” (2:17). Fasal 3 menunjukkan bagaimana pemimpin dan rakyat bekerjasama dengan rela hati, memperbaiki setiap bahagian tembok di kawasan masing-masing. Mereka berganding bahu untuk menyelesaikan tugas itu bersama-sama.

Kita juga boleh memberi impak kepada komuniti kita dengan melayani bersama di bawah pimpinan Tuhan dan dalam kekuatan-Nya.