Tungsten ialah sejenis logam yang mengandungi unsur paradoks. Logam ini mempunyai kekuatan tegangan tertinggi antara semua elemen tulen, menjadikannya sangat sukar untuk ditarik sehingga putus. Namun, menurut laman web Mead Metal, syarikat logam ini menyatakan, “Dari segi kekuatan hentaman, tungsten agak lemah—ia merupakan logam rapuh yang akan hancur apabila terhentak.” Menariknya, logam semula jadi yang paling kuat ini juga boleh menjadi begitu lemah dan rapuh.

Manusia mempamerkan ciri yang serupa. Walaupun memiliki kekuatan yang luar biasa—sama ada secara fizikal mahupun mental, kita mudah dihimpit oleh beban dunia yang telah jatuh dan rosak ini. Paulus sendiri mengalaminya. Dalam 2 Korintus 11, dia menceritakan pengalamannya yang berat (ayat 23-29). Namun, Tuhan meneguhkannya: “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.” Paulus bertekad, “Oleh itu, aku paling rela berbangga tentang kelemahan-kelemahanku, supaya kuasa Kristus menaungiku” (2 Korintus 12:9).

Pada mulanya dalam 2 Korintus, Paulus menulis, “Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur” (4:8). Masih ada harapan, bahkan anak Tuhan yang kuat imannya pun mengetahui bahawa dunia ini terlalu berat ditanggung sendiri. Dengan penuh sukacita, kita bergantung pada kuasa kasih kurnia-Nya agar dapat bertahan dalam segala keadaan. Semoga kita, seperti Paulus, menerima kelemahan kita agar kuasa Tuhan menuntun dan memampukan kita melalui segalanya.