Bunga tidak perlu mekar untuk kelihatan cantik, kata Piet Oudolf, seorang pereka landskap terkenal dari Belanda. Malah pada musim sejuk yang paling sejuk, taman rekaannya yang memenangi anugerah tetap menonjolkan keindahannya. “Kecantikan boleh ditemukan dalam banyak perkara yang mungkin tidak anda sangka,” kata Oudolf, walaupun bukannya semua orang akan bersetuju. “Anda mungkin suka tumbuhan yang mati [atau tidur], ” katanya, “namun kebanyakan orang tidak suka tumbuhan yang mati.”

Penghargaan Oudolf terhadap kitaran hidup tumbuh-tumbuhan mencerminkan satu teras prinsip rohani: Walaupun kita mati dalam dosa kita, Tuhan tetap mengasihi kita. “Lihatlah” jelas rasul Paulus, “tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, Kristus telah mati untuk orang yang fasiq” (Roma 5:6). Paulus menambah, “Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (ayat 8).

Yesus memilih murid-murid yang tidak sempurna. Dia makan bersama orang-orang berdosa dan menyembuhkan mereka yang terpinggir. Begitu juga, Oudolf “berminat dengan tumbuhan bukan sahaja kerana bunganya, tetapi juga kerana keperibadiannya.” Dia dapat melihat keindahan “pada perkara yang nampak tidak cantik, biarpun sekilas pandang.”

Sebagai pembawa imej Tuhan, kita memperlihatkan-Nya kepada dunia melalui cara kita berhubung dengan-Nya dan sesama. Ditanam dalam kasih-Nya, kita diurapi oleh Bapa kita untuk mekar dalam-Nya—menunjukkan bahawa seorang yang dulunya berdosa dan telah mati secara rohani boleh menampakkan keindahan Tuhan kepada dunia yang rindu melihat sekilas wajah-Nya.