Apabila konsert di luar bermula, saya terasa setitik air hujan jatuh di pipi saya. Saya pun mendongak dan nampak awan gelap yang menakutkan di langit. Walaupun begitu, saya tidak mahu pulang, kerana saya sudah membayar harga tiket yang mahal. Saya tidak mahu beredar hanya kerana cuaca buruk. Tidak lama kemudian, orang ramai membuka payung. Ada seorang wanita menggunakan beg plastik untuk menutup rambutnya. Kemudian guruh berdentum sangat kuat kedengaran, lalu penyanyi di pentas segera mengambil mikrofon dan meminta semua orang mencari tempat teduh.
Apabila hujan mula turun dengan lebat, kami meredah lopak-lopak berlumpur dan bergegas masuk ke gimnasium di sekolah yang berdekatan. Kami berhimpit-himpit dengan orang yang tidak dikenali selama setengah jam dengan keadaan basah kuyup, masih berharap ribut akan reda. Apabila kami keluar, kami melihat kumpulan muzik itu sudah mengemas peralatan dan bersiap sedia untuk beredar.
Apabila badai kehidupan melanda, ke manakah kita boleh pergi untuk berlindung? Kesedihan, kebimbangan, penyakit, dan kekeliruan boleh membuatkan kita takut dan memerlukan tempat perlindungan. Kita memerlukan perlindungan yang teguh untuk melindungi kita. Mazmur 91 mengingatkan kita bahawa Tuhan telah berjanji untuk menyelamatkan kita dan menyertai kita dalam kesusahan. “Kerana dia telah menumpukan kasihnya kepada-Ku, maka Aku akan melepaskannya; Aku akan meletakkannya di tempat tinggi, kerana dia mengetahui nama-Ku” (ayat 14). Apabila kita memerlukan pertolongan, kita boleh berseru kepada nama-Nya dan Dia “akan menjawab” kita (ayat 15).
Apabila kita takut atau hilang semangat, kita boleh bersandar pada kekuatan-Nya. Dialah tempat perlindungan kita dalam setiap badai kehidupan.
