Dalam buku Think and Grow Rich yang diterbitkan pada tahun 1937, penulis Napoleon Hill berkata, “Apa sahaja yang dapat dibayangkan dan dipercayai oleh fikiranmu, itulah yang mampu kamu capai.” Kata-kata ini melambangkan Impian Amerika: Jika seseorang bekerja keras, dia boleh mencapai bahkan impian yang paling besar sekalipun.

Kerja keras memang boleh membawa kepada manfaat duniawi; banyak petikan dalam Alkitab—terutamanya dalam kitab Amsal—mengaitkan perkara-perkara tersebut. Namun, apabila semakin meningkat usia, saya juga melihat satu bahaya yang nyata mengikuti idea-idea Hill: usaha saya yang bersungguh-sungguh untuk mencapai impian sendiri boleh menjadi satu percubaan―berpusatkan diri untuk hidup secara berdikari tanpa bergantung pada Tuhan.

Dalam Galatia fasal 5, Paulus membandingkan dua cara hidup: “melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii” (ayat 16). Eugene Petersen menyatakan ayat ini semula dengan cara berikut: “Hiduplah dengan bebas, digerakkan dan didorong oleh Roh Tuhan. Maka kamu tidak akan menurut dorongan keegoan” (The Message). Beberapa ayat kemudian, Paulus menggambarkan seperti inilah rupa kehidupan yang bertumbuh subur dalam Kristus: “buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri” (ayat 22-23).

Banyak suara di dunia ini mendorong kita mengejar dan memperoleh apa sahaja yang kita inginkan dengan bersungguh-sungguh. Namun, hidup yang kita rindukan sebenarnya bukanlah sesuatu yang dapat dicapai hanya dengan usaha sendiri. Hidup itu ialah kurniaan Tuhan apabila kita menyerahkan diri kepada Roh Kudus—hidup berjalan bersama-Nya dengan rela hati, tanpa paksaan— bukan dengan berusaha mati-matian untuk mengejar berkat menurut kehendak sendiri.