Hati Mary Slessor yang penyayang mendorongnya untuk menyalurkan kasih kepada mereka yang memerlukan pertolongan. Mubaligh dari Scotland ini dilahirkan pada tahun 1848, dan melayani dalam kalangan masyarakat Okoyong di sebuah wilayah Nigeria yang terpencil. Kepercayaan karut membuatkan penduduk tempatan mempercayai bahawa apabila pasangan kembar dilahirkan, salah seorang adalah baik manakala seorang lagi dianggap anak syaitan. Kepercayaan ini sering menyebabkan kedua-dua bayi kembar ditinggalkan sehingga mati kebuluran atau terdedah kepada pelbagai bahaya. Dengan mencerminkan kasih Tuhan, Mary akhirnya berjaya menyelamatkan ratusan kanak-kanak yang berisiko, malah mengambil sembilan orang daripada mereka sebagai anak angkatnya sendiri!

Dalam kata-kata ilhamnya kepada bangsa Israel yang memberontak, nabi Hosea memberikan gambaran tentang hati Tuhan yang penuh kasih terhadap anak-anak-Nya. Nabi itu berkata tentang Tuhan, “Dalam Engkau anak yatim mendapat rahmat” (14:3). Hosea menyatakan bahawa Tuhan mengambil berat terhadap umat-Nya dan rindu “mencintai mereka dengan sukarela” (ayat 4). Namun, mereka perlu bertaubat daripada sikap memberontak terhadap-Nya dan menerima jalan-Nya. Mereka diperintahkan untuk meninggalkan dewa-dewa kafir dan kembali kepada Tuhan yang benar, yang peduli terhadap mereka yang paling tidak berdaya, iaitu anak yatim. Jika mereka kembali kepada Tuhan, mereka akan mendapat pengampunan-Nya, yang “menerima [mereka] dengan penuh kemurahan” (ayat 1-2).

Apabila kita membuka tangan untuk menerima orang di sekeliling kita, termasuk kanak-kanak yang berada dalam bahaya, kita mencerminkan kasih Tuhan. Marilah kita menyahut hati-Nya yang penuh belas kasihan dan menghulurkan keprihatinan-Nya kepada mereka yang memerlukan, sebagaimana Dia telah menolong kita.