Pokok-pokok di kawasan beriklim sejuk bersedia menghadapi musim sejuk melalui satu proses yang digelar “pengerasan.” Air disalirkan keluar dari sel supaya ia tidak membeku, mengembang, sehingga memecahkan pokok. Air yang masih tinggal antara sel pokok pula sangat bersih, jadi kristial ais sukar terbentuk. Suhu boleh turun hingga -40°C, tetapi pokok tidak retak atau rosak. Pokok mengeras pada masa yang sama setiap tahun, Ini kerana pokok mengikut perubahan panjangnya tempoh siang dan malam, iaitu hari semakin pendek. Pokok tidak bergantung pada cuaca kerana kadang-kadang cuaca masih panas walaupun musim sejuk hampir tiba. Pokok hanya bergantung pada matahari, yang merupakan tanda yang pasti untuk menghadapi musim sejuk.
Anak Allah yang menciptakan matahari adalah jauh lebih pasti lagi. Dialah “gambaran Allah yang tidak kelihatan, Dialah anak sulung antara segala yang diciptakan. Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan,” dan “setiap yang wujud ada dalam-Nya” (Kolose 1:15-17). Siapakah yang memberitahu pokok-pokok bila perlu bersedia untuk mengeras setiap tahun? Anak Allah yang sama telah membuat matahari terbit setiap pagi dan terbenam setiap malam, mengawal pasang surut laut melalui bulan, menggerakkan elektron dalam setiap sel (badan kita), membuat jantung kita berdegup dan paru-paru kita bernafas, dan menghiburkan kita ketika kita patah hati.
Apa yang mengekalkan dunia bukanlah suatu kuasa dalam alam semula jadi, tetapi Seorang Peribadi yang jauh lebih berkuasa. Peribadi ini masuk ke dunia yang diciptakan-Nya supaya Dia dapat “mendamaikan segalanya dengan diri-Nya,” termasuk diri anda (ayat 20). Dalam dunia yang tidak menentu ini, anda mempunyai satu perkara yang pasti. Yesus akan “memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya” (ayat 22).
