“Apakah yang membuat anda tersenyum apabila memikirkan tentang anak lelaki anda?” Itulah soalan saya kepada Clarence—seorang lelaki muda yang saya bimbing. Ayah yang bangga itu terus berkongsi beberapa pencapaian anak cerdiknya yang berusia empat tahun. Ada satu perkara yang membuat saya geli hati. Bukan sahaja kanak-kanak itu mempunyai nama dan nama keluarga ayahnya, tetapi dia juga sudah mempunyai paras rupa yang begitu mirip dengan ayahnya sehingga dia boleh membuka telefon pintar ayahnya dengan menggunakan pengecaman wajah sendiri!
Dalam Yohanes 14, Yesus menyatakan dengan jelas betapa miripnya Dia dengan Bapa-Nya. Apabila Filipus yang bersifat ingin tahu itu memohon, “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami” (14:8), Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (14:9). Bagaimanakah Bapa dinyatakan melalui Anak? Melalui “kata-kata” (14:10) dan “pekerjaan” (14:11) Yesuslah, kasih, belas kasihan, kasih kurnia Tuhan, dan pelbagai lagi sifat-Nya dipaparkan dengan cemerlang.
Dengan kuasa Roh Tuhan, orang yang percaya kepada Yesus mendapat keistimewaan untuk mempunyai sifat yang sama seperti keluarga-Nya. Tuhan yang tidak kelihatan menjadi kelihatan melalui anak-anak-Nya. Mengenai kasih yang seperti Kristus, Yohanes mengingatkan kita, “Tiada siapa pernah melihat Allah tetapi jika kita kasih-mengasihi, Allah tetap ada di dalam kita dan kasih-Nya disempurnakan di dalam diri kita” (1 Yohanes 4:12).
ILHAM
Permulaan Injil Yohanes menggambarkan keadaan mereka yang tidak mengenali Yesus seadanya: “Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya. Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya” (1:10-11).
Namun Kristus berharap mereka yang paling dekat dengan-Nya dapat mengenali siapa Dia—mereka yang telah mendengar kata-kata-Nya serta melihat dan mengalami pekerjaan-Nya. Dia menegur murid-Nya kerana tidak mengenali-Nya: “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus?” (14:9). Apabila kita meneliti kata-kata dan pekerjaan Kristus dengan jujur serta penuh doa seperti yang dicatatkan dalam Injil, Roh Kudus akan membuka mata dan hati kita untuk mengenali identiti-Nya sebagai Anak Allah dan Raja segala raja. Seterusnya, kita akan diterima masuk ke dalam keluarga Tuhan (1:12-13). Apabila kita menjadi anak-anak Tuhan, Dia akan menolong kita untuk memperlihatkan Yesus kepada orang lain melalui kata-kata dan tindakan kita.
