Ahli arkeologi Jodi Magness dan pasukannya telah menjalankan kerja penggalian sebuah rumah ibadat (sinagog) di kampung purba Huqoq di wilayah Galilea Bawah. Mereka menemukan koleksi mozek, lukisan dan ukiran yang luar biasa. Namun begitu, yang amat jarang ditemui ialah sebuah mozek yang menggambarkan kisah Alkitab tentang Debora dan peranannya dalam peperangan Israel melawan orang Kanaan. Tiada gambaran purba lain yang diketahui tentang wirawati ini.
Selama dua puluh tahun Israel ditindas oleh orang Kanaan, ketika itu, Debora, seorang nabiah “menjadi hakim kepada Israel” (Hakim-hakim 4:4). Atas dorongan Tuhan, Debora mendesak panglima Israel, Barak, supaya melancarkan serangan terhadap tentera Kanaan dan panglima mereka, Sisera. Barak taat kepada arahan Tuhan, “bergeraklah menuju Gunung Tabor dengan membawa bersama-samamu sepuluh ribu orang Naftali dan bani Zebulon” (ayat 6). Debora pula memancing tentera musuh ke kawasan itu. Tentera Kanaan akhirnya tewas dalam peperangan itu. Sisera melarikan diri dengan berjalan kaki, tetapi akhirnya dia juga mati. “Demikianlah Allah menundukkan Yabin, raja Kanaan, di depan orang Israel pada hari itu” (ayat 23) melalui ketaatan dan keberanian Debora serta Barak.
Alkitab memelihara peristiwa bersejarah dalam kehidupan umat Tuhan—sama ada secara bersama mahupun individu—umpama kepingan mozek yang membentuk satu gambaran yang indah.” Kita boleh berani belajar daripada contoh-contoh ini untuk mentaati perintah Tuhan walaupun menghadapi kesukaran dan cabaran. Kita boleh percaya bahawa Tuhan akan memberi kita kekuatan untuk melakukannya.
untuk mentaati perintah -Mu.
ILHAM
Kitab Hakim-Hakim menghubungkan garis masa antara zaman Yosua dengan permulaan pemerintahan beraja di bawah pimpinan Saul (lihat 1 Samuel 9). Kitab ini dicirikan oleh apa yang disebut oleh beberapa cedekiawan sebagai “kitaran kemurtadan” (cycle of apostasy). Setiap kitaran bermula apabila Israel berpaling daripada Tuhan. Kemudian Tuhan membiarkan bangsa-bangsa jiran untuk menghukum mereka, diikuti dengan penyediaan seorang hakim untuk menyelamatkan mereka daripada bangsa tersebut, lalu datanglah musim kebangunan rohani. Dua belas hakim yang berbeza, daripada Otniel hingga Simson, telah menjadi alat penyelamatan Tuhan. Debora ialah hakim yang keempat (Hakim-Hakim 4), dan kepimpinannya atas Israel berlangsung kira-kira empat puluh tahun, iaitu tempoh kedua paling lama selepas Ehud yang memimpin selama lapan puluh tahun. Melalui kepimpinan dan teladan para hakim tersebut, bangsa Israel kembali kepada Tuhan, dan Dia memampukan mereka kembali mempercayai serta mentaati hukum-Nya. Teladan mereka mengingatkan kita pada hari ini bahawa Tuhan akan memberi kita kekuatan untuk percaya dan taat kepada-Nya dalam apa juga keadaan.
