“Apakah yang membuat anda tersenyum apabila memikirkan tentang anak lelaki anda?” Itulah soalan saya kepada Clarence—seorang lelaki muda yang saya bimbing. Ayah yang bangga itu terus berkongsi beberapa pencapaian anak cerdiknya yang berusia empat tahun. Ada satu perkara yang membuat saya geli hati. Bukan sahaja kanak-kanak itu mempunyai nama dan nama keluarga ayahnya, tetapi dia juga sudah mempunyai paras rupa yang begitu mirip dengan ayahnya sehingga dia boleh membuka telefon pintar ayahnya dengan menggunakan pengecaman wajah sendiri!

Dalam Yohanes 14, Yesus menyatakan dengan jelas betapa miripnya Dia dengan Bapa-Nya. Apabila Filipus yang bersifat ingin tahu itu memohon, “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami” (14:8), Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa” (14:9). Bagaimanakah Bapa dinyatakan melalui Anak? Melalui “kata-kata” (14:10) dan “pekerjaan” (14:11) Yesuslah, kasih, belas kasihan, kasih kurnia Tuhan, dan pelbagai lagi sifat-Nya dipaparkan dengan cemerlang.

Dengan kuasa Roh Tuhan, orang yang percaya kepada Yesus mendapat keistimewaan untuk mempunyai sifat yang sama seperti keluarga-Nya. Tuhan yang tidak kelihatan menjadi kelihatan melalui anak-anak-Nya. Mengenai kasih yang seperti Kristus, Yohanes mengingatkan kita, “Tiada siapa pernah melihat Allah tetapi jika kita kasih-mengasihi, Allah tetap ada di dalam kita dan kasih-Nya disempurnakan di dalam diri kita” (1 Yohanes 4:12).