Sebelum menjadi terkenal, panglima perang Mongolia, Genghis Khan (sekitar 1162-1227), telah membunuh saudara tirinya sendiri untuk mengukuhkan kedudukannya dalam keluarga. Setelah memperkukuh kuasanya, dia mula membina sebuah empayar yang lebih luas daripada empayar Alexander Agung, yang terbentang dari pantai Pasifik di Asia hingga ke Eropah Timur. Dengan taktik yang kejam, dia dan angkatan tenteranya yang digelar sebagai “Gerombolan Emas” meninggalkan jejak kematian dan kemusnahan di setiap tempat yang ditawan oleh mereka. Serangan ketenteraannya yang dahsyat tiada tandingan dalam sejarah.
Hari ini kita juga berhadapan dengan musuh yang kejam dan lebih menggerunkan daripada tentera yang menyerang—musuh yang ingin menakluk dan memusnahkan jiwa kita. Rasul Petrus memperingatkan, “Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (1 Petrus 5:8). Musuh ini licik dan berbahaya, dan kita tidak mampu menghadapinya dengan kekuatan sendiri. Namun, kita mempunyai alasan yang besar untuk berharap. Rasul Yohanes menulis, “kerana roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia” (1 Yohanes 4:4). Yang dimaksudkan dengan “roh yang ada padamu” ialah Roh Kudus sendiri. Oleh itu, kita tidak perlu takut kepada musuh jiwa kita.
Apabila kita bergantung pada Roh Kudus, kita akan yakin bahawa hidup kita dilindungi daripada musuh yang berusaha untuk menakluk jiwa kita. Tuhan kita lebih besar. Kita dapat mempercayai Dia untuk menyertai kita dalam segala keadaan.
Tolonglah aku bergantung sepenuhnya pada Roh-Mu.
ILHAM
Apakah yang dinyatakan oleh Perjanjian Baru tentang “musuhmu si Iblis” (1 Petrus 5:8)? Pertama, Perjanjian Baru memberikan pelbagai nama kepadanya: “Syaitan,” yang bermaksud “penuduh” atau “lawan” (Wahyu 12:9-10); “Beelzebul, ketua roh iblis” (Matius 12:24); “tuhan pujaan dunia” (2 Korintus 4:4); “raja segala kuasa di udara” (Efesus 2:2); “si durjana” (2 Tesalonika 3:3); “naga besar” (Wahyu 12:9); dan “ular purba” (20:2; lihat 2 Korintus 11:3).
Kedua, misi Iblis ialah “membinasakan” (1 Petrus 5:8). Iblis menentang Tuhan dan berusaha memisahkan hubungan antara Tuhan dengan manusia. Iblis ingin meruntuhkan keyakinan dan kepercayaan kita kepada Tuhan, serta menghalang kita untuk menyebarkan Injil. Yakobus berkata, “taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripadamu” (Yakobus 4:7). Roh Kudus akan menolong kita melawan Iblis dan berdiri teguh di dalam Kristus.
