Semasa latihan bola keranjang, ayah Enrique meminta dia dan rakannya menunjukkan kepada pasukan cara menghantar bola dengan betul. Enrique telah berlatih selama beberapa minggu, tetapi dia berasa takut melakukan kesilapan. Dia berdoa, melengkapkan latihan itu, lalu berkata, “Terima kasih, Tuhan!” Kemudian ayahnya berkata, “Ayah bangga kerana kamu berusaha keras, anakku. Tetapi ayah lebih bangga kerana kamu berdoa dan memuji Tuhan.” Enrique mengangkat bahu dan berkata, “Saya hanya buat apa yang selalu dilakukan ayah.”

Sepanjang sejarah, Tuhan telah bekerja melalui hubungan yang baik antara generasi. Ketika Tuhan menyampaikan perintah dan hukum-Nya kepada orang Israel, Dia berfirman supaya mereka tidak menambah atau mengurangkannya apa pun daripadanya (Ulangan 4:1-2). Tuhan berfirman, “Peganglah teguh dan lakukanlah semua itu, kerana semua itu akan menjadi hikmah dan kearifan kamu di hadapan mata bangsa-bangsa lain” (ayat 6). Namun, Tuhan bukan sahaja ambil peduli tentang pandangan orang luar terhadap umat-Nya. Dia juga berkata, “Ceritakanlah kepada anak cucumu” (ayat 9). Mengapa? Supaya mereka “belajar bertakwa kepada-Ku seumur hidup” dan seterusnya mengajar “anak-anak mereka” tentang Tuhan (ayat 10).

Kita tidak semestinya menjadi seorang ibu, bapa atau guru Sekolah Minggu untuk berkongsi iman kita yang dikuatkan oleh Roh Kudus dengan generasi yang lebih muda. Tuhan dapat menggunakan hubungan yang sihat merentasi generasi untuk memberi pengaruh yang baik kepada generasi atau keluarga muda, sama ada melalui doa, menyediakan sumber untuk memupuk pertumbuhan rohani mereka, atau memberi sokongan kepada mereka.