Di sebuah restoran yang agak malap, pelayan wanita kami mengambil pesanan dengan senyap dan wajah yang serius. Kemudian, seorang pelanggan dengan baik hati memberinya sebatang pen dengan lampu kecil. Dia berkata bahawa pen itu dapat membantunya “melihat dalam kegelapan”.
Wajah pelayan itu terus berseri-seri, dan sikapnya berubah menjadi lebih ceria. Jelas sekali dia sangat suka dengan hadiah itu—dia menekan suis lampu pen tersebut berulang kali, tutup dan buka. Apabila dia meninggalkan meja kami, lelaki itu tersenyum dan berbisik kepada saya: “Saya rasa dia jadi ceria apabila saya berikan pen itu. Ia mencerahkan harinya!”
Cahaya ialah rahmat Tuhan yang benar-benar menerangi hidup kita. Yesus ialah rahmat cahaya yang teragung—“cahaya sudah datang ke dunia” untuk menyelamatkan dunia (Yohanes 3:16-19). Tuhan memberikan rahmat ini kerana Dia mengasihi kita dan mahu menjalin hubungan dengan kita. Apabila kita menerima Kristus sebagai Penyelamat, dosa kita diampuni dan kita mengalami persekutuan dengan-Nya. Yesus menerangi hidup kita untuk selama-lamanya. Dia berkata: “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup” (Yohanes 8:12).
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita ialah “cahaya dunia” (Matius 5:14). Apabila kita menerima rahmat Tuhan melalui Kristus, kita dapat berjalan dalam cahaya-Nya dan “biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai” (ayat 16). Dengan Dia sebagai sumber cahaya kita, marilah kita bersinar untuk-Nya hari ini!
ILHAM
Apabila kita menerima anugerah penyelamatan Tuhan, Dia mula melakukan perubahan dalam hidup kita. Dia melakukannya melalui Alkitab, iaitu hikmat Tuhan kepada kita: “Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik” (2 Timotius 3:16-17). Ketika kita membaca dan merenungkan firman Tuhan, kita semakin mengenal Dia dan memahami apa ertinya menjadi “cahaya dunia” (Matius 5:14). Melalui doa, kita datang kepada-Nya untuk memperoleh kekuatan dan pimpinan. Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, Roh Kudus yang tinggal di dalam kita “akan membimbingmu ke arah segala kebenaran” (Yohanes 16:13). Roh Kudus menolong kita memahami dan menghidupi Injil serta “bersinar” dalam dunia yang gelap ini melalui kata-kata dan perbuatan kita, supaya orang lain tertarik kepada Kristus, Sumber Terang itu.
