Satu pertandingan fotografi menampilkan gambar-gambar yang dihasilkan oleh Kecerdasan Buatan (AI). Orang dari seluruh dunia menghantar gambar yang telah diciptakan oleh mereka dengan memberikan arahan teks pada komputer. Hanya gambar yang dijana oleh AI dibenarkan. Salah satu pemenang ialah gambar yang luar biasa: sesuatu yang kelihatan seperti burung flamingo merah jambu yang meringkuk menjadi bebola berbulu, dengan pemandangan berpasir sebagai latar belakangnya.

Namun ada satu masalah. Gambar yang menang itu sebenarnya ialah gambar asli daripada seekor flamingo yang benar-benar wujud. Jurugambar tersebut telah menghantar gambar asli ke dalam pertandingan AI. Gambarnya yang bertajuk “Flamingone” telah dibatalkan penyertaannya. Ironinya, gambar yang tulen ditolak kerana ia benar-benar asli.

Nabi Yesaya telah lama menubuatkan ironi yang serupa tentang perbicaraan dan penyaliban Yesus Kristus: “Seperti anak domba yang dibawa untuk disembelih” (Yesaya 53:7). Kristus dibicarakan kerana mengaku sebagai Mesias orang Yahudi. Namun, Dia tidak membela diri: “Dia dianiaya dan ditindas, tetapi dia tidak membuka mulutnya” (ayat 7). Yesaya menunjukkan pertentangan yang sangat besar: “Dia dihina dan ditolak manusia” (ayat 3). Benar—Mesias yang sejati, Anak Allah yang sebenar, ditolak seolah-olah Dia palsu.

Hari ini, anda dan saya seolah-olah menjadi hakim dalam mahkamah keputusan itu. Adakah kita menerima Yesus sebagai Anak Allah yang sejati? Atau kita menolak-Nya sebagai sesuatu yang kurang daripada itu? Walaupun kita percaya kepada-Nya, adakah kita kadang-kadang menolak-Nya sebagai Tuhan yang benar dalam kehidupan harian?