Pang! Tiba-tiba bunyi hentakan kuat terdengar dari sebuah tingkap di sebuah bilik darjah yang saya mengajar, dan ia mengejutkan para pelajar. Kemudian terdengar lagi pang! Seekor burung telah terbang terus ke arah kaca dan terpelanting, lalu cuba terbang semula tetapi terlanggar sekali lagi. Kemudian, saya membaca bahawa lebih daripada satu bilion ekor burung mati setiap tahun di Amerika Syarikat akibat melanggar tingkap. Perlanggaran ini berlaku apabila burung menangkap pantulan tumbuh-tumbuhan pada kaca dan mengejarnya, menyangka itu makanan atau tempat bersarang. Kadangkala burung tersebut juga melihat pantulan sendiri dan menyangka ada burung lain yang perlu dihalau. Burung itu yakin melihat dengan jelas, tetapi sebenarnya keliru.
Bahaya bagi kita jika kita beranggapan bahawa kita sentiasa tahu apa yang benar dan faham sepenuhnya tentang hidup kita sendiri. Namun, kita sebenarnya menderita akibat kekeliruan yang merbahaya dan sering membuktikan bahawa bahkan kebijaksanaan terbaik kita—jika kita hanya bergantung pada diri sendiri—akhirnya boleh membawa kesengsaraan. Amsal 16:25 mengatakan, “Ada jalan yang dianggap orang sebagai lurus, tetapi akhirnya menuju maut.” Kita sering menyangka bahawa kita tahu apa yang benar, tetapi terlalu kerap kita sebenarnya keliru. Bahkan pandangan yang tajam pun penuh dengan salah tanggapan. Bahkan penglihatan kita yang paling jelas masih kabur, tidak sempurna, dan sering membawa kebinasaan.
Itulah sebabnya kita memerlukan hikmat daripada Tuhan (ayat 20-21). Kita memerlukan Tuhan untuk menerangi kebenaran dan membimbing kita kepada apa yang sebenar. Kita memerlukan Dia untuk memimpin kita keluar daripada kekeliruan yang membawa maut, dan membawa seluruh roh, jiwa dan tubuh kita mengalami hidup sejati yang diberikan Tuhan.
ILHAM
Amsal 16 menegaskan kebergantungan kita pada Tuhan dalam segala perkara (AYAT 1-3, 10, 11, 33). Dalam ayat 20-25, penulis memberi tumpuan khusus kepada kepentingan mendengar dan mengucapkan kata-kata dengan bijak. Kedua-duanya saling berkait rapat. Ayat 20 menyatakan: “Sesiapa yang mengendahkan firman akan mendapat kebajikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN.” Dengan kata lain, orang yang hidup dengan rendah hati dan bersandar pada Tuhan juga bersedia menerima nasihat yang bijak daripada orang lain. Kebergantungan mereka pada hikmat Tuhan untuk memahami kebenaran melengkapi mereka untuk “berpengertian” dan menyebutkan “bicara manis” yang “meningkatkan pembelajaran” (AYAT 21). Mereka yang dengan rendah hati belajar daripada Tuhan dan orang lain akan mampu mengucapkan kata-kata yang lahir daripada hikmat-Nya (AYAT 23) dan membawakan penyembuhan (AYAT 24).
