Salah sebuah buku kegemaran saya tentang ilusi optik sentiasa mengagumkan saya kerana gambar-gambarnya menipu mata saya—seperti sebuah gambar dengan dua garis yang sama panjang tetapi nampak berbeza saiz, atau “tangga mustahil” yang terkenal, bahawa empat set tangga seolah-olah bersambung dalam satu lingkaran tanpa henti. Kadang-kadang juga agak mengejutkan apabila kita menyedari bahawa kita tidak selalu melihat sesuatu sebagaimana keadaannya yang sebenar.

Tetapi bukan hanya mata kita yang menipu. Kita juga kadangkala mempercayai ilusi tentang identiti kita sebagai anak-anak Tuhan apabila kita setiap hari dibanjiri dengan dakwaan palsu dunia. Penulis Henri Nouwen menulis, “Yesus datang untuk memberitahu kita bahawa identiti yang berasaskan kejayaan, populariti, dan kuasa ialah identiti palsu—satu ilusi!”

Identiti sebenar kita, yang dimungkinkan oleh kasih Tuhan yang melimpah, ialah apabila kita menerima Yesus sebagai Penyelamat, kita menjadi “anak-anak Allah” (1 Yohanes 3:1). Seperti yang disedari oleh rasul Yohanes, kadangkala “hati nurani kita menyalahkan kita” (ayat 20), dan kita mula meragui kasih Tuhan atau mempersoalkan sama ada kita benar-benar milik-Nya. Namun, Allah lebih besar daripada hati kita dan Allah Maha Mengetahui (ayat 20). Daripada terpedaya dengan ilusi yang merosakkan, kita boleh mempercayai kebenaran bahawa kita ialah anak-anak Tuhan yang dikasihi.

Apa pun ilusi yang anda hadapi mengenai identiti anda hari ini, peganglah teguh kebenaran bahawa anda ialah anak Tuhan yang dikasihi-Nya.