Dalam peringkat separuh akhir kejohanan gusti sekolah menengahnya, Dave mengalami retak tulang rusuk di bahagian kanan badannya. Walaupun cedera, dia tetap memenangi perlawanan itu, tetapi dia tertanya-tanya bagaimana dia dapat bertahan dalam perlawanan akhir dengan tulang rusuk yang telah cedera.

Dalam perlawanan akhir, Dave berjalan tempang ke gelanggang menggunakan kaki kirinya yang tidak cedera. Oleh itu, lawannya menyangka kaki kiri Dave itu bermasalah lalu menumpukan serangan pada kaki kiri tersebut sepanjang perlawanan. Sementara itu, Dave melindungi bahagian kanan badannya yang sebenarnya cedera, dan akhirnya dia berjaya menang.

Seorang lagi “Dave” [nama timangan bagi “David” (atau Daud)] menggunakan helah untuk menyelamatkan diri daripada situasi yang sukar. Daud telah melarikan diri daripada Raja Saul yang mahu membunuhnya. Malah dia mencari perlindungan dalam kalangan musuh Israel, tetapi tidak lama kemudian, raja musuh mendapat tahu bahawa Daud ialah seorang pahlawan berbangsa Ibrani yang terkenal (1 Samuel 21:11). Oleh sebab takut akan dibunuh, Daud pun “berpura-pura gila … menggores-gores daun pintu gerbang dan membiarkan air liurnya meleleh ke janggutnya” (ayat 13). Helahnya itu berjaya.

Orang yang berhati mulia mungkin boleh membahaskan tentang taktik sedemikian dan membuat kesimpulan yang berbeza. Tetapi Mazmur 34 menjelaskan tentang pengalaman Daud. Dia tidak menganggap helahnya itu sebagai sebab dia diselamatkan, tetapi Tuhan yang menyelamatkannya. Dalam Mazmur itu dia menyanyi, “Aku telah berseru kepada TUHAN, dan Dia … menyelamatkanku daripada semua yang kutakuti” (ayat 4). “Orang yang tertindas ini berseru, dan TUHAN … menyelamatkan dia dari segala kesesakannya” (ayat 6 TB). Walaupun Daud mendapatkan perlindungan daripada orang Filistin, tetapi bagi dia, satu-satunya perlindungan yang paling selamat dan boleh diharapkan adalah daripada Tuhan (ayat 8, 22).