Rancangan realiti TV British, Artis Potret Terbaik Tahun ini, mempertemukan sembilan pelukis amatur untuk bertanding menghasilkan potret seorang selebriti tempatan. Lukisan-lukisan itu mesti disiapkan dalam masa hanya empat jam, dan proses tersebut dipadatkan menjadi rancangan TV selama satu jam. Sungguh menarik apabila melihat kamera merakamkan bagaimana setiap karya seni itu perlahan-lahan muncul daripada kanvas yang pada mulanya kosong.
Alkitab mencatatkan kisah penciptaan dalam kitab Kejadian, bahawa Tuhan menciptakan kehidupan daripada kekosongan umpama sebuah kanvas kosong. Namun, terdapat satu lagi “kisah penciptaan” dalam kitab Keluaran fasal 2, iaitu kisah kelahiran Musa. Bahasa yang digunakan mengingatkan kita kepada kisah-kisah awal dalam kitab Kejadian. Ibu Musa “melihat betapa elok dan sihatnya bayi itu” (Keluaran 2:2); Perkataan Ibrani yang digunakan ialah tov, yang bermaksud “baik,” seperti yang digunakan dalam kitab Kejadian: “Allah melihat semua itu baik” (Kejadian 1:25). Bayi Musa diletakkan di dalam sebuah bakul yang kalis air dan dihanyutkan di atas air untuk menyelamatkannya. Perkataan bakul [yang kalis air] itu ialah perkataan yang sama digunakan bagi bahtera dalam kisah Nuh. Di sini, kita melihat Tuhan sedang mencipta gambaran seorang pemimpin bagi umat pilihan-Nya, iaitu Israel.
Bagaimanakah Tuhan sedang “melukis” hidup anda? Mungkin anda berasal daripada latar belakang yang sederhana dan susah, seolah-olah seperti Musa yang terselamat dari tengah-tengah rumpun mensiang di tepi sungai. Mungkin anda berasa tidak mampu menghadapi tugas-tugas yang akan datang, seperti juga yang pernah dirasakan oleh Musa (lihat Keluaran 4). Namun, gambaran yang Tuhan sedang cipta tentang diri anda sedang perlahan-lahan terserlah: “Kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus” (Efesus 2:10). Semasa Tuhan melukis hidup anda, yakinlah bahawa Dia sedang menghasilkan tov (kebaikan) dari ‘kanvas kosong’ hidup anda.
seperti gambaran yang Engkau kehendaki.
ILHAM
Pembelaan Stefanus di hadapan majlis pemimpin Yahudi merangkumi gambaran ringkas tentang kehidupan Musa, termasuklah bagaimana dia diselamatkan oleh anak perempuan Firaun (Kisah Para Rasul 7:20:21; lihat keluaran 2:1-10) dan bahawa “Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan” (Kisah Para Rasul 7:22). Walaupun empat puluh tahun yang dilalui oleh Musa di istana Firaun telah mempersiapkannya untuk tugas kepimpinannya, dia masih memerlukan empat puluh tahun lagi untuk dibentuk oleh Tuhan, yakni Sang Seniman Agung, sebelum dia bersedia untuk memimpin bangsa Israel daripada perhambaan di Mesir (lihat Kisah Para Rasul 7:28-36). Pada hari ini, sebagaimana Tuhan mempersiapkan Musa untuk tugasnya, Dia juga sedang membentuk kita untuk menjadi semakin serupa dengan-Nya.
