Tiana yang berumur enam tahun itu sedang berada di gereja untuk konsert muzik Hari Bapa. Dia menggenggam tangannya, berdoa sambil memerhatikan orang ramai. Sesekali dia mengerling ke arah pintu gereja. Rakan-rakannya melambai-lambai ke arah bapa mereka atau orang tua-tua yang lain, lambaian mereka juga dibalas oleh bapa mereka masing-masing. Namun pada awalnya, tiada sesiapa yang datang atau melambai kepada Tiana. Gurunya mengajak dia ikut serta menyanyi dalam kumpulan koir, tetapi dia tidak mahu berganjak dari tempat duduknya. Tiba-tiba, ayahnya bergegas masuk melalui pintu. Apabila ayahnya melambai kepada Tiana sambil mencari tempat duduk, Tiana tersenyum dan terus menangis, lalu ikut naik ke pentas.
Walau berapa pun usia kita, kita tetap memiliki hati yang lembut seperti seorang anak kecil yang ingin dilihat, didengar, dan dikasihi. Pemazmur Daud menunjukkan bahawa Tuhan sentiasa hadir dan menyokong anak-anak-Nya. Daud berdoa dengan penuh keyakinan bahawa kasih Tuhan tidak pernah gagal, tidak melupakan, dan tidak meninggalkan dia—itulah kasih Bapa kita yang di syurga. Daud mengakui keperluannya dan berdoa dengan iman berdasarkan kesetiaan Tuhan (Mazmur 86:1-4). Dia menyatakan bahawa Tuhan itu “baik dan sedia mengampuni, serta melimpahkan kasih” (ayat 5). Dia juga memuji Tuhan: “Dalam kesusahan aku akan berseru kepada-Mu, kerana Engkau akan menjawabku” (ayat 7). Daud berseru dengan sepenuh hati kerana Tuhan telah membuktikan kesetiaan-Nya (ayat 11).
Seperti Daud, kita juga boleh percaya kepada Bapa Syurgawi kita bahawa Dia akan membalas kita, kerana Dia telah berjanji untuk berbuat demikian. Kita juga boleh memuji Dia, “Aku akan memuji-Mu, ya Tuhan, Allahku, dengan sepenuh hatiku; dan aku akan memuliakan nama-Mu untuk selama-lamanya” (ayat 12). Mengapa? Kerana tiada tuhan seperti Engkau—Engkau berkuasa dan melakukan perkara-perkara ajaib; hanya Engkaulah Allah (ayat 8, 10).
mempercayai-Mu, kerana hanya Engkaulah Tuhan!
ILHAM
Dalam Mazmur 86, Daud menggambarkan dirinya berada dalam bahaya besar. Musuh-musuh yang zalim “hendak membunuh [dia]” (ayat 14), tetapi dia berpaling kepada Tuhan untuk perlindungan dan penyelamatan-Nya (ayat 1-4). Pemazmur mengisytiharkan kedaulatan dan kemahakuasaan Tuhan: “Tiada tuhan seperti-Mu, ya TUHAN; dan tiada yang dapat melakukan apa yang Kaulakukan … Kerana Engkau Maha Besar dan melakukan perkara yang menakjubkan; hanya Engkaulah Allah” (ayat 8, 10). Daud menegaskan bahawa Tuhan mendengar dan menjawab doa (ayat 6-7). Dia “sedia mengampuni, serta melimpahkan kasih kepada semua yang menyeru-[Nya]” (ayat 5). Apa pun keadaan hidup kita, kita boleh meletakkan kepercayaaan kita kepada Tuhan (ayat 4), kerana Dia “penyayang dan pengasih … berlimpah kasih dan setia” (ayat 15). Sementara kita menantikan pertolongan-Nya, kita boleh berdoa: “Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, aku akan melangkah dalam kebenaran-Mu; … aku akan memuliakan nama-Mu untuk selama-lamanya” (ayat 11-12).
