Hujan turun membuat suhu udara semakin dingin. Kami telah mendaki selama beberapa hari di pergunungan Nepal, dan meninggalkan penginapan yang hangat untuk melangkah ke dalam cuaca yang membeku terasa semakin sukar setiap pagi. “Jom,” desak pemandu pelancong kami. “Kita tidak boleh menunggu cuaca menjadi lebih baik. Jangan risau, saya akan bersama kamu semua.”
Semasa mula melangkah dalam hujan dan kabus, saya berasa sangat sengsara. Nampaknya tiada gunanya untuk meneruskan perjalanan—apa yang dapat kami lihat? Namun, beberapa jam kemudian, langit menjadi cerah, puncak-puncak gunung yang menjulang tinggi di kejauhan mula kelihatan—pemandangan indah yang pasti akan kami terlepas jika kami memilih untuk tidak meneruskan perjalanan.
Dalam Kejadian 12:1, Tuhan memerintahkan Abram pergi ke Kanaan: “Tinggalkanlah negerimu, sanak saudaramu dan rumah ayahmu serta pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.” Pada waktu itu, seolah-olah tiada apa yang boleh diharapkan; apa yang dapat dilihat oleh Abram hanyalah perjalanan yang panjang dan sukar melalui tanah asing yang penuh cabaran, tempat yang di situ kesusahan dan musuh telah menanti. Satu-satunya jaminan yang dimiliki Abram ialah penyertaan Tuhan dan janji-Nya untuk membuat Abram menjadi “bangsa yang besar” (ayat 2). Maka, “berangkatlah Abram seperti yang TUHAN firmankan kepadanya” (ayat 4). Hanya selepas bertahun-tahun barulah dia melihat janji-janji itu digenapi.
Kadangkala Tuhan mungkin memanggil kita untuk melakukan pekerjaan, pelayanan, atau tugas yang mencabar dan nampaknya tidak memberi hasil atau penghargaan. Namun, apabila kita mempercayai Tuhan dan melangkah dengan iman, Dia akan sentiasa bersama kita. Ketika kita mula melangkah, Dia pasti menyertai kita.
Apakah yang menghalang anda, dan bagaimanakah anda boleh melangkah dengan iman?
ILHAM
Abraham dijadikan teladan iman atas alasan yang kukuh (baca Ibrani 11:8-10). Apabila dia menerima panggilan daripada Tuhan (Kejadian 12:1), Alkitab belum lagi mula ditulis. Tuhan berfirman kepadanya untuk meninggalkan “negeri[nya] … sanak saudara[nya] … dan rumah ayah[nya]” (ayat 1). Sebagai seorang penggembala yang hidup berpindah-randah ribuan tahun yang lalu, dia tidak mempunyai cara untuk mengetahui terlebih dahulu ke mana dia akan pergi, dan peluang untuk berhubung dengan orang di kampung halamannya juga sangat terbatas. Namun, tekad dan imannya tetap teguh. Tiga kali dalam Perjanjian Baru dinyatakan bahawa Abraham “percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran” (Roma 4:3; Galatia 3:6; Yakobus 2:23; lihat Kejadian 15:6). Pada hari ini, ketika kita melangkah ke arah yang tidak diketahui, kita boleh mengingati bahawa Tuhan setia dan Dia akan menyertai kita.
