Di manakah bungkusan-bungkusan itu? Sebuah gereja di kawasan bandar menghadapi masalah menerima penghantaran. Walaupun kakitangan pejabatnya meminta supaya barangan yang dipesan dalam talian dihantar terus ke dalam bangunan, barang-barang itu sering ditinggalkan di luar di tepi jalan, malah ada yang terus hilang.

Para pekerja gereja itu tentu sahaja berasa sangat kecewa. Namun, daripada mengadu melalui talian khidmat pelanggan syarikat tersebut, mereka menyediakan sudut snek di dalam bangunan dan menjemput para penghantar barang untuk singgah menikmati makanan ringan dan minuman. Tidak lama kemudian, bungkusan-bungkusan mula tiba di tempat yang betul pada waktu yang tepat, dan gereja itu berjaya “menyampaikan” satu mesej kepada para penghantar: Kami menghargai anda sebagai manusia, bukan sekadar penyedia perkhidmatan.

Sering kali kita dapat mengubah keadaan yang mencemaskan melalui kebaikan. Walaupun reaksi spontan kita mungkin adalah mencari kesalahan orang lain dan memendam kemarahan. Namun, rasul Paulus mencabar kita supaya membiarkan kebaikan Tuhan terpancar melalui diri kita, walaupun mungkin ada kalanya kita merasakan sukar untuk mengasihi orang itu. Melalui kuasa Roh Kudus dan dengan hikmat-Nya, kita dapat menunjukkan kebaikan dengan menyambut orang lain dengan mesra, bertimbang rasa, dan sedia menolong (Roma 12:13-14). Walaupun perbuatan seperti ini mungkin kelihatan tidak berkesan, kita tahu bahawa ia menyenangkan hati Tuhan, seperti dorongan ini dalam Alkitab: “Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia” (ayat 18).