Apabila anak Monica, Augustine, ingin meninggalkan rumah untuk pergi ke sebuah kota yang terkenal dengan kemaksiatan, dia memohon kepada Tuhan supaya tidak membiarkan anaknya pergi. Namun Augustine tetap pergi, dan hal itu sangat menyedihkan hati ibunya. Tetapi di kota itulah Tuhan mengubah hidupnya. Dalam bukunya, Confessions (Pengakuan-Pengakuan), Augustine kemudian berdoa, “Namun dalam hikmat-Mu yang mendalam, Engkau mendengar inti kerinduan ibuku … supaya Engkau menjadikan aku seperti yang sentiasa didoakannya.” Akhirnya, Augustine bukan sahaja menjadi seorang yang percaya kepada Yesus, malah dia juga salah seorang pemikir Kristian yang paling berpengaruh dalam sejarah.
Kadangkala Tuhan tidak memberikan apa yang kita minta—sebaliknya Dia memberikan sesuatu yang lebih berharga. Seperti Monica, rasul Paulus juga pernah meminta sesuatu daripada Tuhan tetapi tidak menerimanya. Kita tidak tahu apa itu “duri” dalam daging Paulus, tetapi kita tahu hal itu sangat menyeksanya. “Tiga kali” dia “memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan” daripadanya (2 Korintus 12:7-8). Namun Tuhan menjawab, “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan” (ayat 9). Akhirnya, Paulus menyimpulkan bahawa dia akan “paling rela berbangga” tentang kelemahannya supaya dia dapat mengalami “kuasa Kristus” dengan lebih mendalam (ayat 9).
Respons Paulus menunjukkan kepada kita jalan ke hadapan apabila kita menantikan jawapan Tuhan, atau apabila jawapan-Nya tidak seperti yang kita harapkan. Yesus ialah harapan kita dalam segala keadaan, dan dalam kekuatan-Nya kita memiliki lebih daripada yang kita perlukan.
Bagaimanakah Kristus menolong anda melaluinya?
tolonglah aku mempercayai kebaikan-Mu dalam segala hal dan menerima kekuatan daripada-Mu setiap hari.
ILHAM
Dalam hikmat-Nya yang sempurna dan Maha Mengetahui, Tuhan tidak selalu memberikan apa yang kita minta dalam doa. Paulus telah berdoa agar Tuhan menghapuskan “duri dalam dagingnya” walau apa pun sebenarnya duri itu (2 Korintus 12:7). Namun, dia tahu bahawa Tuhan mengasihinya dan akan melakukan apa yang terbaik baginya (ayat 8-10; lihat Roma 8:28). Kelemahan yang dialami oleh Paulus membuatnya tetap rendah hati dan bergantung pada Tuhan serta kekuatan-Nya, bukan pada kekuatannya sendiri (2 Korintus 12:7-10). Melalui Paulus juga, Tuhan telah memakai hidupnya untuk menyebarkan Injil kepada ramai orang. Paulus sebenarnya mempunyai banyak perkara yang boleh dibanggakan (2 Korintus 11:16–12:5), tetapi dia memilih untuk bermegah dalam perkara-perkara yang menunjukkan kelemahannya sendiri dan kekuatan Tuhan (2 Korintus 12:6-9). Doa Yesus mengingatkan kita supaya berdoa menurut kehendak Tuhan: “Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga” (Matius 6:10). Semasa kita berdoa pada hari ini, kita boleh yakin akan kesetiaan Tuhan. Dia sentiasa mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan akan menyediakan segala yang benar-benar kita perlukan.
