Anak saudara saya, Andy, telah dilanggar oleh sebuah kereta semasa berjalan-jalan dengan anjingnya. Seseorang yang menyaksikan kemalangan itu segera berhenti untuk memberikan CPR (bantuan pernafasan dan tekanan dada kecemasan untuk menyelamatkan nyawa) dan menghubungi ambulans. Alat bantuan pernafasan (ventilator) mengekalkannya hidup selama seminggu. Dengan penuh syukur, sehari selepas Krismas, ubat penenang dan alat bantuan itu dihentikan, lalu Andy sempat berkata kepada isterinya, ibu bapanya, abangnya, dan kelima-lima anaknya, “Saya sayang kamu semua.” Hati kami dipenuhi emosi dan harapan. Namun, keesokan harinya, dia meninggal dunia.

Semua anaknya, yang berusia antara lima belas hingga dua puluh satu tahun, berkongsi kenangan tentang bapa mereka sambil menangis dalam upacara peringatan yang menghormati kehidupan dan iman bapa mereka. Anak perempuannya, Julia, membacakan satu ungkapan yang membuat semua hadirin tersentuh hati: “Yang penting bukan apa yang sudah kita hilang, tetapi apa yang masih kita miliki.”

Namun hakikatnya, kehilangan Andy sangat besar bagi kami yang mengenali dan menyayanginya. Satu kehidupan yang indah dan dipersembahkan kepada Yesus telah berakhir di dunia ini, dan dia amat dirindui. Jadi, apa lagi yang dapat memberi kita harapan? Efesus 1 mengingatkan kita tentang berkat rohani yang dimiliki oleh Andy dan semua orang yang percaya kepada Yesus. Kita telah dipilih untuk menjadi “suci dan tidak bercela di hadapan-Nya” (ayat 4), ditentukan “dari mulanya untuk diangkat sebagai anak[-Nya]” (ayat 5), “mendapat penebusan melalui darah-Nya” menurut “kasih kurnia-Nya” (ayat 7), serta “Roh Kudus yang dijanjikan-Nya” tinggal dalam kita dan “menjadi jaminan bagi warisan kita” dalam hidup yang akan datang (ayat 13-14).

Sesiapa yang mengasihi Yesus sudah memiliki anugerah penyelamatan yang kekal daripada-Nya.