Pelakon Hollywood, Tom Cruise telah membina kerjaya filemnya dengan senyuman yang memikat … dan aksi lagak ngeri yang luar biasa. Salah satu aksi ikonik dalam filem, Mission: Impossible menampilkan Cruise menunggang motosikal dari tebing gunung dan terjun dengan payung terjun untuk menyelamatkan diri.
Dalam siri-siri filem Mission: Impossible yang lain, dia pernah berpegang pada sisi luar kapal terbang yang sedang berlepas, menahan nafas di dalam air lebih daripada enam minit, dan melakukan terjunan dari altitud tinggi. Kita mungkin menganggapnya berani melampau. Tetapi komitmen Cruise—demi menyampaikan cerita sinematik yang terbaik—memang luar biasa.
Dalam 1 Korintus 9, Paulus mengenal pasti satu lagi kumpulan yang menuntut komitmen tinggi dalam latihan mereka: ahli sukan yang bertanding. Dia memuji disiplin mereka: “Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih” (ayat 25). Dia berkata mereka didorong oleh kemuliaan sementara—untuk “mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal”—manakala orang yang percaya kepada Yesus didorong oleh panggilan yang bernilai kekal: “untuk mendapat mahkota yang kekal” (ayat 25).
Adakah komitmen kita terhadap iman setanding dengan seorang atlet yang berdisiplin—atau seorang pelakon terkenal? “Berlarilah, hingga menerima hadiah,” kata Paulus (ayat 24). Oleh sebab kasih kurnia Tuhan, kita akan menerima mahkota hidup sebagai anak-anak Raja. Realiti ini mengubah sepenuhnya cara kita menjalani hidup kita.
Bagaimanakah Tuhan telah menggunakan disiplin dalam hidup anda untuk mengubah anda?
ILHAM
Komitmen Paulus untuk menyampaikan Berita Baik tentang Yesus mendorongnya untuk hidup seperti orang Yahudi ketika dia berusaha menjangkau mereka
(1 Korintus 9:20). Namun, apabila dia melayani orang bukan Yahudi, dia mengetepikan cara hidup orang Yahudi dan menyesuaikan dirinya dengan mereka (ayat 19). Bahkan, Paulus berkata bahawa dia hidup “seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat” (ayat 21). Namun, dia juga menjelaskan: “Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus”
(1 Korintus 9:21)—iaitu hukum kasih. Paulus berkata: “Aku tidak melebihkan kepentingan diriku … mengutamakan kepentingan orang lain ...” (1 Korintus 10:33). Oleh sebab keselamatan besar yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, seperti rasul Paulus, kita harus menjalani kehidupan yang berdisiplin “untuk Injil”
(1 Korintus 9:23).
