Apabila Eugenia Dodson yang berusia 101 tahun meninggal dunia, tiada siapa pun tahu betapa kayanya dia. Dia hidup berjimat cermat dengan bekerja sebagai seorang pakar kecantikan dan melaburkan wang simpanan yang ditinggalkan oleh suaminya ketika dia meninggal dunia lima puluh tahun yang lalu. Namun, Dodson meninggalkan AS$35.6 juta (kira-kira RM159.3 juta) untuk penyelidikan kanser dan diabetes. Kedua-dua penyakit itu telah memusnahkan keluarganya, maka dia mahu membantu orang lain yang menghadapi keadaan yang sama. Dodson menggunakan sumber yang sangat besar itu untuk menjaga generasi akan datang yang tidak akan pernah ditemuinya. Seorang wakil Eugenia berkata, “Dia memang bertekad untuk melakukan kebaikan demi manusia sejagat. Dia mempunyai hati yang sangat mulia.”

Amsal mengatakan bahawa jika kita mahu meninggalkan pengaruh yang baik dan menjalani hidup yang bermakna, maka kita perlu memikirkan bukan hanya kepentingan diri sendiri, tetapi juga kesejahteraan generasi yang akan datang. Alkitab mengatakan, “Orang baik meninggalkan warisan bagi anak cucunya” (Amsal 13:22). Nasihat ini merujuk kepada membantu keluarga kita sendiri, tetapi ia juga mempunyai makna yang lebih luas tentang bagaimana kita melabur secara rohani dan dalam pelbagai cara lain untuk kebaikan semua generasi yang akan datang. Dalam budaya Israel yang bersifat komuniti, ungkapan “anak cucu” merujuk kepada kelompok yang jauh lebih luas daripada konsep keluarga asas (ibu bapa dan anak-anak sahaja) yang biasa difahami pada zaman moden.

Terdapat pelbagai cara kita boleh melabur untuk masa depan orang lain. Ada yang mungkin mampu meninggalkan warisan dalam bentuk kewangan. Namun, sebagaimana Tuhan yang penuh kasih menyediakan apa yang kita perlukan, setiap kita boleh meninggalkan warisan yang berharga seperti integriti, doa yang setia, dan mengurus ciptaan-Nya dengan bijaksana supaya generasi yang akan datang turut dapat menikmatinya (ayat 23).