Dalam sebuah seminar umum yang dianjurkan oleh syarikat yang baru saya sertai, semua orang diberi tugas masing-masing, seperti menyambut tetamu dan mengurus logistik. Oleh sebab ini merupakan acara yang besar dan semua orang sibuk, jadi tiada siapa bertindak balas apabila seorang peserta tertumpahkan minuman. Namun, salah seorang bos saya dengan segera berhenti daripada apa yang sedang dilakukannya, mengambil mop, lalu membantu membersihkannya.
Sebagai penganjur utama yang mengawasi acara tersebut, dia sebenarnya mempunyai kuasa untuk meminta orang lain melakukannya. Tetapi dia memilih untuk melakukan kerja yang mungkin dianggap rendah oleh sesetengah orang. Sikap itu membuatkan saya sangat menghormatinya.
Dalam Filipi 2:3-4, kerendahan hati digambarkan dengan cara yang sederhana dan praktikal: “Janganlah lakukan apa pun kerana … keangkuhan”, “menganggap yang lain lebih tinggi daripada [diri sendiri]” dan “jagalah … kepentingan orang lain”.
Dengan memenuhi satu keperluan kecil, bos saya tidak memikirkan kedudukannya. Kerendahan hati yang sejati kadangkala ditunjukkan melalui kata-kata dan tindakan yang mencerminkan hati yang rela memberi serta mengutamakan keperluan orang lain, bukannya menjaga imej atau status diri. Hati seperti ini mencerminkan hati Yesus. Walaupun mempunyai kedudukan ilahi, Yesus “mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba” (ayat 7). Marilah kita memohon pertolongan Tuhan supaya kita mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri, agar kita semakin menyerupai Kristus, Tuhan kita yang melayani.
ILHAM
Fasal penting ini bermula dengan seruan Paulus agar umat Tuhan hidup dalam kesatuan yang penuh kasih (Filipi 2:1-2). Kesatuan seperti ini hanya dapat terwujud melalui Kristus. Namun, kesatuan tidak semestinya bermaksud kesepakatan dalam segala hal, iaitu mempunyai pandangan yang sama dalam semua perkara atau mengikut pemikiran kumpulan tanpa mempertimbangkan pandangan sendiri. Sebaliknya, Paulus memanggil kita untuk “sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati”(ayat 2). Kemudian, Paulus menghubungkan kesatuan ini secara langsung dengan hubungan kita antara satu sama lain, dan dia menyeru kita: “Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus”(ayat 5). Dalam bahagian lain, Paulus bercakap tentang perbezaan yang sememangnya akan wujud antara manusia yang mempunyai latar belakang dan pemikiran yang berbeza (lihat Roma 14:1-23). Namun, dia melihat perbezaan itu bukan sebagai penghalang kepada kesatuan. Apabila fokus kita tertuju kepada Kristus dan teladan-Nya yang penuh kerendahan hati serta pengorbanan diri, kita akan terdorong untuk meneladani Dia. Memiliki kerendahan hati seperti Kristus akan mendorong kita supaya “janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain” (Filipi 2:4).
