Mandy meletakkan telefon dengan hati yang berat. Ibu baru sahaja menghubunginya untuk memberitahu bahwa ayahnya mungkin akan kehilangan pekerjaan, dan keluarganya mungkin perlu bergantung kepadanya untuk menampung perbelanjaan rumah. Mandy berasa tertekan memikirkan tanggungjawab untuk menyara keluarganya. Dia bekerja dalam bidang berasaskan komisen, dan selama beberapa bulan dia telah memohon pelbagai pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih stabil, tetapi semuanya ditolak.

Mandy berkongsi, “Apabila saya menyerahkan keperluan saya kepada Tuhan, saya terus menjalani hidup seperti biasa. Saya tidak sangka satu makan tengah hari bersama seorang rakan akhirnya menjadi peluang pekerjaan! Tuhan menyediakan keperluan saya! Akhirnya saya mendapat pekerjaan itu!”

Tuhan mungkin tidak selalunya memberi jawapan seperti yang kita harapkan, seperti yang dialami oleh Mandy. Namun, kita tetap boleh memperoleh ketenangan daripada Tuhan, Pemberi yang penuh kasih, yang mengetahui setiap keperluan kita. Dalam Mazmur 111, kita diingatkan bahawa Tuhan kita “penuh kasih kurnia dan belas kasih” (ayat 4). Dia berkenan menunjukkan kebaikan kepada kita dan sangat mengasihi kita. Belas kasihan-Nya mendorong-Nya untuk bertindak, sehingga kita dapat mengalami pemeliharaan-Nya yang setia(ayat 5).

Adakah hati anda dibebani? Adakah keadaan hidup membuat anda kecewa? Ingatlah bahawa Tuhan mengambil berat tentang anda secara peribadi. Dia peduli terhadap keperluan emosi, praktikal, dan keperluan harian anda. Anda boleh mempercayai pemeliharaan Bapa kita yang setia. Dia akan menyertai anda hari ini, esok, dan selama-lamanya.