B. B. Warfield, seorang profesor yang sangat dihormati di Seminari Princeton, telah meninggal dunia pada tahun 1921. Sehari selepas pengebumiannya, seorang rakan sekerja yang lebih muda, J. Gresham Machen, menulis tentang betapa besarnya kehilangan yang dirasainya. Machen berkata: “Hampir semua yang saya lakukan adalah berharap bahawa Dr. Warfield akan menghargai hasil kerja saya. Sepanjang masa saya menulis buku, saya sentiasa memikirkan bahawa dia sekurang-kurangnya akan membacanya. Kini saya berasa sangat kosong tanpa dia.” Walaupun masih menahan sebak di dada, Machen kemudian meneruskan legasi Warfield sebagai penulis. Dua tahun kemudian, dia menulis sebuah buku yang penting tentang keilahian Yesus yang masih dihormati oleh para sarjana sehingga kini.
Yosua telah berkhidmat di bawah Musa selama 40 tahun sebelum meneruskan warisan kepimpinan Musa. Dia ialah salah seorang daripada dua pengintip yang membawa kembali laporan yang baik (Bilangan 14:6-9), mengharungi perjalanan yang sangat panjang dan sukar bersama-sama Musa di padang gurun selama berpuluh-puluh tahun, memerangi orang Amalek sementara Musa berdoa (Keluaran 17:10), dan telah bersamanya di Gunung Sinai (24:13). Sekarang Tuhan berkata kepadanya, “Musa hamba-Ku telah mati” (Yosua 1:2). Yosua mengambil tugas kepimpinan Musa dengan berat hati,, dan menyediakan umat Tuhan “untuk menyeberangi Sungai Yordan” ke tanah perjanjian (ayat 2).
Namun Yosua tidak akan memimpin seorang diri. Tuhan berjanji, “ Sebagaimana dahulu Aku menyertai Musa, demikianlah Aku akan menyertai engkau. Aku tidak akan menterlantarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau” (ayat 5). Oleh sebab Tuhan menyertainya, Yosua dapat menjadi “yakin dan berani (ayat 7 TMV). Adakah sekarang giliran anda untuk memikul tanggungjawab memimpin? Tuhan yang menyertai Musa dan Yosua juga akan menyertai anda.
ILHAM
Apabila Tuhan memanggil kita untuk melayani-Nya, Dia akan menyertai dan menolong kita melaksanakan tugas yang diberikan-Nya.
Tuhan berfirman kepada Yosua, “Kitab Suci Taurat ini tidak akan lekang daripada mulutmu, tetapi hendaklah engkau merenungkannya siang dan malam, supaya engkau berhati-hati melakukan segala yang tertulis di dalamnya” (Yosua 1:8). “Kitab Suci Taurat” adalah lima kitab pertama dalam Alkitab—semua kitab yang telah ditulis pada masa itu. Hari ini, kita mempunyai lebih banyak lagi. Yesus berfirman kepada murid-murid-Nya, “Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku” (Yohanes 14:15). Dia menambah, “Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. Penolong itu Roh Kebenaran” (ayat 16-17). Roh Tuhan “tetap di dalam [kita] dan akan ada di dalam diri [kita]” (ayat 17), untuk menolong kita melayani-Nya.
