Bayi kembar Dylan dan Deiniol dilahirkan lima belas minggu lebih awal. Mereka memerlukan oksigen dan ventilator untuk bernafas. Beberapa minggu kemudian, Dylan semakin pulih dan dipindahkan ke hospital lain, tetapi keadaan Deiniol semakin merosot. Ibu bapa mereka membawa Dylan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara kembarnya, lalu kedua-duanya diletakkan bersama dalam satu inkubator dan sempat berpelukan seketika. Tanpa dapat dijelaskan, paras oksigen Deiniol meningkat dengan mendadak dalam beberapa jam sahaja. Namun keesokan harinya, keadaan Deiniol merosot semula. Oleh itu, doktor memutuskan bahawa dua bayi ini akan dibaringkan rapat bersebelahan. Dua hari kemudian, Deiniol tidak lagi perlu bergantung pada ventilator. Kedua adik-beradik ini terus ditempatkan bersama sehingga dibenarkan keluar hospital.
Kisah pasangan kembar itu membuktikan betapa pentingnya kebersamaan seperti yang diterangkan dalam Pengkhutbah 4. Raja Salomo yang bijaksana menyedari bahawa mempunyai sahabat membawa banyak manfaat, sama ada ketika bekerja atau ketika menghadapi musuh. Dia juga menekankan pentingnya saling membantu apabila seseorang terjatuh dan saling menemani untuk memberi kehangatan serta sokongan (Pengkhutbah 4:10-11).
Keperluan kita tidak terhad kepada keperluan fizikal atau praktikal. Kita juga boleh meneguhkan orang lain dengan memberikan sokongan emosi, serta “menghangatkan” hati mereka dengan menunjukkan keprihatinan dan kasih yang tulus. Hari ini, marilah kita memohon agar Tuhan membantu kita melihat sesiapa yang memerlukan kehadiran kita, baik kawan mahupun orang asing, sama ada dalam bentuk praktikal, rohani, atau emosi.
untuk menjadi saluran berkat kepada seseorang
yang memerlukan pertolonganku hari ini.
ILHAM
Mintalah Tuhan menunjukkan kepada kita siapa yang memerlukan kehadiran dan sokongan kita dari segi praktikal, rohani atau emosi pada hari ini.
Dasar yang dinyatakan dengan jelas dalam kitab Pengkhutbah bahawa “berdua lebih baik daripada bersendiri” (4:9-12), turut diamalkan dalam ajaran Yesus kepada murid-murid-Nya. Injil Markus mencatatkan, “Dia memanggil murid-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat” (6:7; baca Lukas 10:1). Catatan tentang penyebaran Injil secara meluas dalam Kisah Para Rasul menunjukkan bahawa para pengikut Yesus melayani secara berpasangan. Di Antiokhia, Bernabas mengajak Saul (Paulus) untuk turut serta dalam pelayanan (Kisah Para Rasul 11:22-26). Apabila Barnabas dan Paulus berpisah, mereka masing-masing menemui rakan sepasukan baharu, dan Injil terus tersebar (lihat 15:39-41). Kita semua memerlukan galakan daripada orang lain. Hari ini, marilah kita memohon pimpinan Tuhan untuk melayani mereka yang memerlukan kehadiran dan sokongan kita, sama ada secara praktikal mahupun rohani.
