Bacaan Alkitab: MARKUS 15:25-39

Penyaliban adalah bentuk kematian yang sangat kejam dicipta oleh orang Romawi untuk hamba dan mereka yang memberontak terhadap pihak berkuasa Rom. Ribuan penjenayah disalibkan di kayu salib, dan hal ini sudah biasa bagi kebanyakan orang pada abad pertama. Semasa Yesus mengajak pengikut-pengikut-Nya untuk memikul salib mereka dan mengikut-Nya, gambaran itu pasti mengejutkan mereka. Selain dari gambaran yang mengerikan, banyak orang Yahudi yang mungkin merasa terhina oleh salib. Menurut Ulangan 21:23, sesiapa yang disalibkan berada di bawah kutukan Tuhan. Di samping itu, adalah suatu tanggapan yang menjijikan untuk mati tergantung pada kayu salib, kerana bagi ramai orang, ketelanjangan di khalayak umum merupakan sesuatu yang memalukan.

Oleh itu, tidak menghairankan jika ramai orang menghina Yesus ketika Dia mati di kayu salib. Orang yang melalui tempat itu, para pemimpin agama dan pencuri di sebelah Yesus melemparkan kata-kata sindiran kepada-Nya (MARKUS 15:29–32). Bahkan para pemimpin agama membuat pengisytiharan bahawa mereka tidak mempunyai raja lain kecuali Kaisar (YOHANES 19:15). Siapa akan percaya bahawa inilah Anak Tunggal Tuhan, yang begitu lemah, tidak berdaya, tergantung pada kayu salib, mati menanggung dosa dunia? Namun, seorang yang tidak disangka telah menyaksikan semua penghinaan dan penderitaan Yesus. Yang menakjubkan, dia ialah ketua askar orang bukan Yahudi yang telah menyaksikan penyaliban Yesus yang penting dan berkata, “Memang benar orang ini Anak Allah!” (MARKUS 15:39). Orang bukan Yahudi ini telah menemukan keselamatan dalam Yesus.

Sehingga hari ini, kayu salib masih dianggap sebagai sesuatu yang menjijikkan. Agama Kristian ialah agama minoriti di kebanyakan negara Asia, bahkan orang percaya di tempat-tempat ini sering dianiaya dan gereja diserang. Bahkan beberapa gereja tidak boleh mendirikan kayu salib pada bangunan mereka. Bagaimana dengan kita? Apa yang kita lihat ketika kita memandang kayu salib? Marilah kita menjadi seperti ketua askar itu, yang melihat Yesus, Anak Allah, dan percaya kepada-Nya.

Renungan

  1. Yesus disalibkan dan mati bagi umat manusia untuk menebus kita dari belenggu dosa. Apa maksud kematian Yesus bagi anda?
  2. Para pemimpin agama mengisytiharkan bahawa mereka tidak mempunyai raja selain Kaisar. Demikian juga, kita kadang-kadang terpengaruh oleh keadaan dan tergoda untuk mengalihkan kesetiaan kita dari Tuhan kepada Kaisar dalam hidup kita. Adakah kita telah menukar Raja segala raja kepada Kaisar lain dalam hidup kita, seperti harta benda dan kekayaan, kerjaya dan kehormatan, serta status dan kedudukan?

 

Doa

Tuhan Yang Maha Kuasa, kami mengingati bagaimana Yesus, Tuhan kami, telah menyerah ke tangan orang berdosa dan menderita di kayu salib. Bantulah kami mengikuti teladan kerendahan hati dan ketaatan-Nya, agar kami dapat menyangkal diri, memikul salib kami, dan mengikut Dia setiap hari. Dalam nama Yesus, amin.