Dua orang pengikut datang untuk menuntut jenazah Yesus untuk dikebumikan (YOHANES 19: 38-42). Markus menyebut salah seorang ialah Yusuf dari Arimatea. Dia ialah pengikut rahsia kerana takut kepada orang-orang Yahudi (AYAT 38). Ini menghalang dia menyatakan pendirian secara terbuka untuk Yesus, sekurang-kurangnya sehingga pengadilan Yesus. Dia adalah sebahagian golongan kecil orang yang menentang penyaliban Yesus (LUKAS 23:51). Walaupun dia tidak dapat memujuk para pemimpin agama untuk membebaskan Yesus, dia ingin memastikan bahawa Yesus mendapat pengebumian yang sewajarnya sebelum hari Sabat dan bukannya dibiarkan pada kayu salib atau dibuang bersama penjenayah lain untuk dimakan oleh anjing-anjing. Dengan meminta untuk menuntut jenazah Yesus, Yusuf kini memperlihatkan dirinya sebagai pengikut Yesus yang setia. Sesungguhnya, ini merupakan tindakan yang berani (MARKUS 15:43).
Seorang lagi pengikut lain yang datang bersamasama Yusuf ialah Nikodemus (YOHANES 19:39). Dia juga merupakan pengikut rahsia Yesus. Ini menjelaskan sebabnya dialah orang yang mula-mula mengunjungi Yesus pada waktu malam (AYAT 39, 3:1–21). Nikodemus membawa kira-kira 35 kg ramuan mur dan gaharu mahal untuk mempersiapkan pengebumian Yesus (19:39). Sejumlah besar rempah seperti ini biasanya digunakan untuk anggota kerabat diraja atau individu yang sangat dihormati. Dengan kata lain, Nikodemus percaya bahawa Yesus adalah Raja dan berhak menerima kemewahan sedemikian sebagai persiapan untuk pengebumian-Nya! Ketika situasi memanggil mereka membuat pendirian, kedua-dua Yusuf dan Nikodemus menjadi taat dan tidak lagi menyembunyikan diri dalam bayang-bayang
sebagai pengikut rahsia. Mereka sanggup mengambil risiko dikucilkan oleh pemimpin agama dan masyarakat mereka. Malangnya, pengikut-pengikut Yesus yang mengikut-Nya selama ini pula menghilangkan diri (MARKUS 14:50). Perbezaan yang sungguh ketara! Marilah kita menjadi Yusuf dan Nikodemus, yang sanggup menjadi saksi yang setia bagi Yesus.
Renungan
- Adakah kita bersikap seperti pengikut-pengikut rahsia Yesus kerana kita takut terhadap akibat daripada menyatakan iman kita secara umum? Apakah yang menghalang kita mengakui kesetiaan kita kepada Yesus di hadapan keluarga, saudara, sahabat, rakan sekerja dan jiran kita?
- Menurut anda, mengapa tiada pengikut Yesus yang tampil untuk menuntut jenazah tuan mereka? Sekiranya anda ialah salah seorang pengikut Yesus, di manakah anda akan berada pada waktu itu?
Doa
Bapa Yang Maha Kuasa, ampunilah kami ketika kami bersikap seperti pengikut rahsia Yesus Tuhan. Berilah kami keberanian untuk menjadi saksi Injil yang setia melalui perkataan dan tindakan kami, supaya kami selalu berusaha untuk memuliakan-Mu. Hanya dalam nama Yesus Kristus Tuhan kami, amin.