Bacaan Alkitab: MARKUS 16:1-8, 19

Naratif Markus mengenai kebangkitan telah sekian lama membingungkan ramai pentafsir. Selepas menyaksikan peristiwa yang paling agung dan penting dalam sejarah manusia, para wanita yang pernah datang mengurapi tubuh Yesus “keluar lalu lari dari kubur itu” kerana mereka “terkejut dan takut”. Mereka “tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut” (MARKUS 16:8). Ini bukanlah pengakhiran yang tepat untuk Injil! Ataupun segalanya betul-betul telah berakhir? Salah satu corak penulisan yang menarik digunakan Markus adalah motif “arahan untuk diam”. Dalam keseluruhan kitab Injil ini, kita sering membaca Yesus tidak membenarkan orang memberitahu yang lain mengenai-Nya atau mukjizat yang dilakukanNya (MARKUS 1:34, 44; 5:43; 7:36; 8:26; 30; 9:9). Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. (YOHANES 6:15). Ini bercanggah dengan misi-Nya di dunia, iaitu menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan untuk ramai orang (MARKUS 10:45). Oleh sebab itu, Dia memerintah mereka supaya tidak memberitahu sesiapa pun mengenai-Nya, selagi Dia belum bangkit daripada kematian (AYAT 9:9).

Tetapi selepas kebangkitan-Nya, pengikut Yesus diperintah untuk memberitakan Injil (MATIUS 28:18-20). Namun, Markus tidak menyatakan sama ada para wanita tersebut akhirnya mengatasi ketakutan mereka dan turut pergi memberitakan kebangkitan Yesus kepada yang lain. Ramai pembaca yang telah mengikuti naratif Markus ditinggalkan dengan persoalan, “Adakah mereka pergi berkongsi Berita Baik?”

Ini mungkin sebab utama Markus tidak memasukkan respons para wanita tersebut! Sebagaimana para pembaca mempersoalkan para wanita tersebut, injil juga menjemput kita mengajukan soalan ini kepada diri kita. Sudahkah kita pergi? Adakah kita juga setia memberitakan keagungan Injil mengenai Yesus yang telah mati, bangkit dan akan kembali kedua kalinya? Oleh sebab Yesus yang diangkat ke syurga adalah Yesus yang sama akan datang kembali (KISAH RASUL-RASUL 1:10-11), marilah kita dengan berani pergi untuk mengkhabarkan Berita Baik kepada sesiapa yang memerlukannya.

Renungan

  1. Menurut anda, mengapa para wanita itu melarikan diri dari kubur setelah mendengar tentang kebangkitan Kristus dan takut untuk memberitahu berita baik ini kepada orang lain?
  2. Sebelum pengangkatan Yesus, Dia telah memberikan Amanat Agung kepada para pengikut-Nya (Matius 28:18-20). Bagaimana anda mentaati amanat Yesus untuk pergi dan menjadikan semua bangsa pengikutNya?

 

Doa

Bapa yang kekal, anak-Mu Yesus Kristus telah bangkit dari kematian dan naik ke syurga dan sekarang duduk di sebelah kanan-Mu: berilah kami kekuatan dan keberanian untuk pergi dan memuridkan semua bangsa, bantulah kami mengisytiharkan Dia sebagai Penyelamat dunia supaya setiap orang akan mengenal Dia dan sujud menyembah di kaki-Nya. Kami berdoa dalam nama Yesus, amin.