Kisah penyangkalan Petrus direkodkan dengan teliti dalam Injil Markus. Kisah tentang soal siasat ke atas Yesus oleh Imam Agung (MARKUS 14:55–65) diapit di antara dua naratif iaitu Petrus yang mengikut Yesus dari jarak jauh dan penafiannya terhadap Yesus (AYAT 53–54, 66–72). Struktur penulisan ini memberikan perbandingan di antara keberanian Yesus mengesahkan identiti-Nya sebagai Mesias dengan sikap pengecut Petrus yang menyangkal dirinya sebagai pengikut Yesus. Respons Yesus, ditetapkan dalam konteks penyaliban yang bakal berlaku dan kematianNya, membuktikan tahap keberanian-Nya, manakala penyangkalan Petrus mengambarkan sikap bongkaknya (AYAT 29–31). Yesus berhadapan dengan penyoal-siasat-Nya, tanpa menyangkal apa-apa, sementara Petrus goyah dan
menyangkal kesemuanya.
Petrus tidak sedar bahawa dia telah menyangkal tuannya sebanyak tiga kali, sehinggalah dia terdengar ayam berkokok dua kali (AYAT 72). Tiba-tiba dia menyedari dia telah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Pernahkah kita melakukan sesuatu yang tidak patut dilakukan? Pernahkah kita membenarkan sesuatu perkara yang kita sedar bertentangan dengan firman Tuhan, nilai moral, perwatakan dan integriti? Mungkin seperti Petrus, kita mulai tertarik untuk berkompromi dengan keimanan kita sehingga mendapati diri kita menyangkal Tuhan.
Dalam masa seperti itu, Tuhan, dalam rahmat-Nya, menghantar amaran “ayam yang berkokok” untuk menyedarkan sejauh mana kita telah menjauhi-Nya dan bagaimana kita memerlukan rahmat Tuhan untuk
kembali melayani-Nya. Penyangkalan dan kegagalan Petrus tidak menempatkan dia di luar penebusan. Dalam Yohanes 21, Petrus menerima rahmat Yesus dan bertaubat, dan dia dipulihkan dan diutuskan sekali lagi oleh Tuhan.
Pernahkah kita mendengar ayam berkokok? Adakah kita memberi perhatian kepada amaran itu?
Renungan
- Ambil masa seketika untuk merenungkan hidup anda. Pernahkan anda menyangkal Yesus seperti Petrus? Mungkin kita tidak sengaja melakukannya, tetapi adakah kita telah memilih cara penyelesaian yang mudah pada saat-saat kita lemah?
- Apakah beberapa bentuk “ayam berkokok” yang boleh berlaku dalam hidup kita hari ini? Adakah mudah untuk mengesan bunyi tersebut? Mengapakah ia mudah atau tidak mudah?
Doa
Tuhan Yesus, Engkau memanggil Petrus untuk mengikut-Mu. Semoga kami juga diinspirasi oleh kesetiaan hidup Petrus. Walaupun dia goyah dan menyangkal Engkau, imannya dipulihkan sepenuhnya bagi kemuliaan-Mu dalam pelayanan dan kematiannya. Bantulah kami mengikut teladannya dan sentiasa berpegang pada dasar yang teguh di dalam-Mu. Dalam nama Yesus kami berdoa, amin.