Bacaan Alkitab: MARKUS 15:1–15

Ketika para pemimpin agama membawa Yesus kepadanya, Pilatus tidak terlalu yakin bahawa tuduhan mereka bersifat politik. Dia mengesyaki perkara itu berpunca dari rasa iri mereka terhadap Yesus. Namun Pilatus membiarkan dirinya dipengaruhi oleh mereka. Ketika para imam mendesaknya dengan menuduh bahawa dia tidak berpihak kepada Kaisar sekiranya dia membebaskan Yesus (YOHANES 19:12), Pilatus telah mempertimbangkan pendirian politiknya dan menyedari bahawa terlalu berisiko bagi reputasinya sekiranya dia membebaskan Yesus. Ketika orang ramai yang digerakkan oleh ketua imam berteriak, “Salibkan dia” (MARKUS 15:13–14), Pilatus terserah kepada tekanan dan kemahuan para ketua imam dan orang ramai: dia menyalibkan Yesus dan membebaskan Barabas (AYAT 15).

Pilatus adalah contoh orang yang mementingkan diri sendiri dan lebih mengutamakan kedudukan, status serta kuasa, walaupun dia sedar adalah salah untuk menjatuhkan hukuman salib ke atas Yesus yang tidak bersalah. Hati nuraninya terbakar ketika dia membuat kompromi yang terbesar dalam hidupnya. Betapa mudahnya bagi kita juga, untuk tunduk kepada tekanan dari rakan sebaya, masyarakat dan tempat kerja kita. Betapa mudahnya melakukan sesuatu yang kita tahu adalah salah dari segi etika dan moral, atau berdiam diri ketika kita melihat ketidakadilan di sekeliling kita. Adakah kita berkompromi dengan apa yang benar kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan status kita? Marilah kita menjadi orang yang berani dan bertekad untuk berdiri dan berbicara demi kebenaran, dan
menjadi suara bagi mereka yang tidak berdaya dan dipinggirkan.

Renungan

  1. Mengapakah sukar untuk bertegas dan mengatakan kebenaran? Mengapakah lebih mudah untuk berdiam diri? Mengapakah Tuhan tidak mahu kita berkompromi dengan moral kita?
  2. Pernahkah anda memilih untuk melindungi kedudukan dan status anda, bukannya menegakkan kebenaran? Jika ya, mungkin ini adalah masa yang tepat untuk memohon pengampunan Tuhan.

 

Doa

Tuhan Yang Maha Kuasa, berilah kami keberanian agar kami yang telah dibebaskan oleh kebenaran-Mu akan selalu mengatakan kebenaran. Bantu kami supaya tidak takut untuk menegur kesalahan, dan berani menderita dengan sabar demi kebenaran. Dalam nama Yesus, amin.