Bacaan Alkitab: MARKUS 15:16–24

Kayu salib yang dipikul Yesus ke Golgota terlalu berat, maka Simon dari Kirene disuruh untuk menolong Dia (MARKUS 15:21). Pertemuannya dengan Yesus telah mengubah hidupnya. Simon ialah seorang Yahudi dan berasal dari Afrika Utara yang mungkin baru tiba di Yerusalem untuk merayakan hari Paska. Dia adalah bapa kepada Aleksander dan Rufus. Rekod yang menyebut nama anak-anaknya menunjukkan bahawa mereka terkenal di kalangan para pembaca kitab Markus di Roma. Secara menariknya, Paulus juga menyebut seorang yang bernama Rufus dan ibunya, yang juga menjadi ibu kepada Paulus (ROMA 16:13). Sekiranya ini adalah Rufus yang sama, ini menunjukkan bahawa Simon menjadi pengikut Yesus setelah memikul salib, dan keluarganya juga menjadi orang percaya.

Tindakan kecil Simon yang taat untuk menolong Yesus nampaknya telah mengubah kehidupan seluruh keluarganya dan menuntun mereka memainkan peranan yang lebih besar dalam kerajaan Tuhan kelak. Sering kali, kita berfikir bahawa kita perlu diperlengkapi sepenuhnya atau menjadi matang dalam Kristus untuk melayani Tuhan. Tetapi Tuhan hanya mencari orang yang melayani Dia dengan setia dan taat. Jawapan “ya” pertama kita untuk melakukan tugas kecil dapat mengubah kita menjadi lebih seperti Kristus, dan membuka pintu kepada peluang yang penting untuk melayani Tuhan pada masa hadapan. Adakah kita bersedia untuk taat melayani Tuhan, walaupun itu mungkin kelihatan seperti tugas “kecil” untuk memikul beban orang lain?

Renungan

  1. Bagaimanakah respons kita ketika diminta untuk memikul beban orang lain? Mengapa sukar untuk bersedia memikul beban orang seperti Simon dari Kirene?
  2. Adakah sesiapa rakan kamu yang mungkin Tuhan ingin kamu bantu hari ini? Berdoalah memohon kekuatan dan rahmat Tuhan untuk menerima beban ini, dengan iman bahawa ketaatan anda tidak akan sia-sia.

 

Doa

Tuhan Yang Maha Kuasa, kami bersyukur kepada teladan yang ditunjukkan oleh Simon dari Kirene, yang memikul beban berat kayu salib untuk Yesus. Berilah kami rahmat dan kekuatan untuk peka terhadap keperluan orang lain, dan menanggung beban satu sama lain ketika kami berusaha untuk taat dan setia kepada-Mu. Dalam nama Yesus, amin.