Bacaan Alkitab: MARKUS 11:1-11

Saya sering kali mengetuai lawatan sambil belajar ke Tanah Suci. Kegirangan sentiasa kami rasakan setiap kali berada di balai perlepasan lapangan terbang untuk berlepas ke Tanah Suci.

Saya membayangkan hal itu juga dialami oleh jemaah pada zaman Yesus. Walaupun jemaah tersebar ke seluruh dunia Mediterranean, mereka perlu berziarah ke Yerusalem untuk menyambut perayaan Paska
setiap tahun seperti yang ditetapkan oleh Hukum Musa. Ketika mereka menuruni Bukit Zaitun dan menghampiri Yerusalem, keindahan pemandangan dan kemegahan bukit Rumah Tuhan akan menyambut mereka. Kepenatan daripada perjalanan yang jauh dan memenatkan akan bertukar kepada sukacita dan kegembiraan apabila melihat Rumah Tuhan yang menjadi simbol kehadiran Tuhan bagi orang Yahudi, dan kebanggaan bangsa tersebut.

Kira-kira 2,000 tahun dahulu, Mesias yang dinantinantikan memasuki kota Yerusalem bersama dengan para penziarah pada hari yang dikenali sebagai Ahad Palma secara tradisi. Orang ramai bersorak dengan gembira dan menyambut Yesus sebagai raja mereka ketika Dia masuk ke kota dengan menunggang keldai (MARKUS 11:1-11). Walau bagaimanapun, reaksi Yesus adalah bertentangan dengan reaksi orang ramai dan para pengikut-Nya. Dia meratapi kota itu (LUKAS 19:41) kerana mereka tidak mengenali pemerintah dan raja mereka (AYAT 41-44; MATIUS 23:37-38). Rumah Tuhan tidak lagi berfungsi untuk mendekatkan orang kepada Tuhan; maka Yesus menyucikannya pada keesokan hari (MARKUS 11:15-19); lalu meramalkan kemusnahannya (13:1-2). Rumah Tuhan itu telah dimusnahkan oleh kerajaan Roma pada 70 tahun Masihi. Ini merupakan satu pengakhiran yang menyedihkan untuk bangsa yang menolak Tuhan dan Mesias-Nya.

Ini mengingatkan kita bahawa kita tidak dapat mengagumkan Tuhan dengan bangunan gereja yang megah. Dia mencari orang yang mencari-Nya dengan hati yang sesal. Marilah kita menjadi orang yang meratapi dosa-dosa dalam hidup kita, gereja kita dan bangsa kita. Izinkan Tuhan memurnikan hati kita.

Renungan

  1. Bayangkan anda ialah pengikut Yesus yang sedang mengikut Dia ke Yerusalem pada Minggu Palma. Anda menyaksikan sorakan kegembiraan orang ramai dan pada masa yang sama melihat kemelut emosi yang dirasakan Yesus semasa Dia meratapi Yerusalem. Apakah perasaan anda? dan mengapa?
  2. Yesus menangisi Yerusalem kerana Israel telah meninggalkan Tuhan. Jika anda berada di sana, adakah anda akan ikut menangis bersama Yesus? Adakah anda akan menangisi negara anda, kota anda atau gereja anda?

 

Doa

Allah yang kekal dan Maha Kuasa, Anak-Mu Yesus Kristus telah menangisi Kota Yerusalem kerana mereka telah menolak Mesias. Pandanglah kami dengan kasih-Mu yang setia, dan ketika kami mengakui dosa-dosa kami kepada-Mu, ciptakanlah hati yang bersih dalam kami dan pulihkan sukacita dalam hati kami kerana penyelamatan-Mu. Dalam nama Yesus, amin.