Dr. Charles W. Eliot, presiden yang menjawat paling lama di Universiti Harvard mempercayai bahawa orang biasa yang membaca sedikit tetapi secara berterusan tentang kesusasteraan dunia yang agung, walaupun untuk beberapa minit pada setiap hari akan mendapat pendidikan yang bermanfaat. Pada tahun 1910, dia telah mengumpulkan buku-buku sejarah, sains, falsafah dan seni lalu menyusun aturkan untuk menjadi lima puluh jilid yang dipanggil The Harvard Classics. Setiap set buku termasuk panduan pembacaan oleh Dr. Eliot yang bertajuk “Lima Belas Minit Sehari” yang mengandungi cadangan bacaan terpilih sepanjang lapan sehingga sepuluh muka surat setiap hari.

Bagaimanakah jika kita meluangkan masa selama lima belas minit setiap hari untuk membaca firman Tuhan? Kita boleh berkata seperti pemazmur, “Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu” (Mazmur 119:36-37).

Lima belas minit sehari akan menjadi sembilan puluh satu jam dalam setahun. Tetapi tidak kira berapa jumlah masa yang diambil untuk membaca Alkitab setiap hari, rahsianya adalah konsistensi, dan ramuan utama bukanlah mencapai kesempurnaan melainkan kesetiaan. Jika kita terlepas sehari atau seminggu, kita boleh mula membaca sekarang juga. Apabila Roh Kudus mengajar kita, firman Tuhan akan bekerja daripada fikiran kepada hati kita, kemudian kepada tangan dan kaki kita—serta membawa kita melampaui pengetahuan dalam otak dan terus menuju kepada perubahan hidup.

“Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu” (ayat 33).